Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan tempatan berusia 54 tahun maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Tanjung Aru, di sini, Sabtu.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Tan, yang mengusahakan perniagaan kereta terpakai di Bundusan bersama rakan kongsinya, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas jalan raya di hadapan bangunan berkenaan.
Dia meninggalkan seorang isteri berumur 40an serta seorang anak perempuan yang masih kecil.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 jam 3.07 petang berhubung kejadian itu.
Sepasukan polis segera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal.
Siasatan awal mendapati seorang juruteknik yang bekerja di premis terbabit melihat sesuatu yang disyaki seorang individu terjatuh dari tingkat atas bangunan menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
Pemeriksaan di bahagian hadapan bangunan mendapati lelaki itu terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pasukan ambulans yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Rakaman CCTV turut menunjukkan Tan memandu sebuah Mercedes Jeep ke lokasi kejadian. Dia meletakkan kenderaan itu di petak parkir yang ditetapkan sebelum berjalan ke kaunter penyambut tetamu.
Lelaki yang memakai seluar pendek dan cermin mata hitam Ray-Ban itu memberitahu kakitangan kaunter bahawa dia datang untuk mengambil sesuatu dan dibenarkan masuk.
Dia kemudian menuju ke tingkat paling atas bangunan terbabit di mana dia dipercayai terjatuh.
Pemeriksaan fizikal awal oleh pasukan forensik mendapati kecederaan yang dialami adalah selaras dengan jatuh dari tempat tinggi.
Tiada kecederaan luaran mencurigakan ditemui pada tubuh mangsa.