Tenom: Seramai 305 kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas Tenom diraikan dalam Majlis Hari Apresiasi Tabika/Taska Kemas Daerah Tenom 2025 di Dewan Sri Antanom di sini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Khidmat Pengurusan Kemas Sabah, Muhamad Yusli Nassir, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah kanak-kanak sebelum melangkah ke Tahun Satu.
Advertisement

“Hari Apresiasi merupakan platform penting bagi menghargai usaha serta kejayaan anak-anak, selain memperlihatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di Tabika dan Taska Kemas.
“Program ini bukan sekadar majlis penyampaian sijil tetapi tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap kecemerlangan kanak-kanak dalam pelbagai bidang,” katanya dalam ucapan.
Beliau berkata penjenamaan semula program itu sebagai Hari Apresiasi sejak 2019 selari dengan keperluan semasa serta bertujuan memaklumkan kepada masyarakat tentang mutu pendidikan awal kanak-kanak di bawah Kemas.
Daripada jumlah penerima itu, 27 ialah kanak-kanak Taska Kemas manakala 278 lagi murid Tabika. Majlis turut disertai pendidik, penyelia, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Tambah beliau, penganjuran program sedemikian menggalakkan persaingan sihat, membina keyakinan diri kanak-kanak dan mengukuhkan hubungan antara Kemas, ibu bapa dan komuniti.
“Melalui penglibatan bersama dalam majlis seperti ini, kita dapat memupuk budaya kecemerlangan yang membentuk generasi lebih berdaya saing pada masa hadapan,” ujarnya.