TAWAU: Kerajaan Negeri yang baharu ditubuhkan diharap dapat menunaikan tuntutan terpenting rakyat Sabah berhubung gesaan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) agar hak perlembagaan dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong Justin Wong berkata beliau amat bersetuju dengan cadangan SLS yang turut menekankan bahawa pemberian 40 peratus hasil bersih Sabah bukanlah perkara yang memerlukan rundingan bentuk ‘peruntukan khas’ atau ‘konsesi’.
Sebaliknya beliau menyatakan perkara tersebut termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan wajib dilaksanakan.
“Bagaimana dilaksanakan biarlah pasukan baharu kerajaan Sabah merundingkan hal-hal teknikalnya.
“Kita juga mengingatkan Kerajaan Negeri bahawa segala proses rundingan mesti berlandaskan perlembagaan sebagai syarat utama, tanpa ruang untuk penyelewengan, kelewatan atau tafsiran semula. Tidak kira apa juga susunan pentadbiran, perlembagaan mesti menjadi asas segala tindakan.
“Apa yang rakyat Sabah mahu lihat adalah bagaimana prinsip perlembagaan serta Sabah dipertahankan selain bagaimana keadilan dapat dilaksanakan,”tegasnya.
Tambah beliau selain melaksanakan tugas harian Kerajaan Negeri baharu juga perlu mengambil pendirian ‘bersungguh-sungguh’ dalam isu 40 peratus hasil bersih tersebut.
Katanya Sabah sudah sekian lama berdepan layanan tidak adil sehingga mengakibatkan pembangunan negeri begitu jauh ketinggalan maka keutamaan sekarang ialah bagaimana menunaikan hak yang sepatutnya diterima oleh rakyat Sabah.
Beliau berkata penglibatan besar rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri baru-baru ini membuktikan bahawa pengundi mahu memainkan peranan dalam pembentukan dasar.
“Ini menunjukkan betapa pentingnya setiap undi. Khabar baiknya kita sudah melihat impak awal apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan peningkatan had pengecualian e-invois kepada RM1 juta.
“Ini membuktikan keputusan pilihan raya Sabahmenjadi satu isyarat penting kepada kerajaan Persekutuan. Saya yakin isu 40 peratus hasil bersih ini juga akan direalisasikan dalam tempoh yang ditetapkan,”katanya.