SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong Ket Kiun dan Adun Tanjong Papat Alex Thien menyatakan sokongan terhadap kerja-kerja naik taraf di Pasar Elopura dan Pasar Kim Fung namun mengakui kebimbangan para peniaga yang bergantung kepada pendapatan harian daripada jualan di pasar terbabit.
Calvin berkata di Pasar Elopura para peniaga keliru dengan perubahan tarikh penutupan yang berulang kali.
Notis pertama yang dikeluarkan pada 6 Disember memaklumkan penutupan pada 8 Disember namun satu notis baharu pada 8 Disember menetapkan penutupan pada 15 Disember sebelum diubah sekali lagi kepada 10 Disember.
“Perubahan berulang kali ini menjejaskan perancangan perniagaan lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan apabila kehadiran pelanggan biasanya meningkat,” kata.
Beliau turut memaklumkan bahawa kanopi sementara yang dijanjikan untuk peniaga di lokasi alternatif masih belum disediakan sekali gus menimbulkan ketidakpastian tentang lokasi operasi mereka sepanjang tempoh penutupan.
Di Pasar Kim Fung pula peniaga menghadapi masalah yang hampir sama.
Tarikh penutupan diubah daripada 10 kepada 15 Disember dan walaupun kanopi telah dihantar ia masih belum disusun untuk digunakan di tapak sementara.
Pasar itu menempatkan kira-kira 150 peniaga yang menjual makanan siap dimasak, buah-buahan, sayur-sayuran serta hasil segar.
Calvin berkata kebanyakan peniaga memohon supaya kerja-kerja naik taraf ditangguhkan sehingga April 2026 bagi mengelakan gangguan semasa musim perayaan yang merupakan tempoh puncak perniagaan memandangkan projek itu dijangka mengambil masa selama tiga bulan.
Beliau menggesa unit pasar, pihak berkuasa tempatan dan para ahli majlis supaya turun ke tapak untuk menilai keadaan sebenar serta mengadakan pertemuan dengan peniaga sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Sementara itu Alex merancang untuk membawa isu ini ke Mesyuarat Majlis Perbandaran Sandakan bagi memastikan satu keputusan yang adil dapat dicapai demi melindungi kepentingan orang awam dan peniaga kecil.
“Peniaga di Pasar Sim-Sim bersetuju untuk berpindah sementara ke tapak berdekatan namun mereka memohon supaya kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan sistem saliran disediakan dengan sempurna,” katanya.

Calvin dan Alex turut menegaskan bahawa tiada istilah “bulan madu” bagi mereka sebagai wakil rakyat yang baru dipilih.
Mereka kini giat turun padang melawat komuniti setempat bagi menyelesaikan aduan penduduk serta memantau pembangunan tempatan, termasuk menarik peluang pelaburan ke Sandakan.