TAWAU: Polis mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam parit di Kampung Tanjung Batu Darat-Taman Ria 9, di sini, pada Selasa, meninggal dunia akibat lemas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau DSP Champin Piuh berkata ia disahkan oleh doktor selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau.
Beliau berkata kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun itu merupakan pelajar sebuah sekolah swasta bantuan NGO di pusat bandar.
Champin berkata laporan awal mengenai penemuan kanak-kanak itu yang dalam tidak sedarkan diri dibuat pada jam 2.27 petang oleh seorang lelaki berusia 47 tahun yang turut membawa mangsa ke Hospital Tawau namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan awal, pemerhatian dan pemeriksaan fizikal awal di lokasi kejadian, tiada unsur jenayah terlibat,” katanya.
Beliau berkata bedah siasat dilakukan selepas pengeluaran Borang Pol. 61, selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah – Akta 593, bagi menentukan punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Pada Selasa, penduduk Tawau dikejutkan dengan penemuan “mayat” seorang kanak-kanak lelaki di dalam parit, yang dilaporkan hanya disedari selepas air dari saluran paip besar di kawasan penempatan itu dilepaskan.
Pekerja yang membuka saluran paip besar untuk kerja pembaikan akibat kebocoran sehingga menyebabkan air mengalir deras, dikatakan tidak menyedari kehadiran kanak-kanak terbabit.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum ditemui namun dia sudah tidak sedarkan diri ketika dijumpai.
Kes itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Tawau susulan dakwaan tular bahawa mayat ditemui di dalam paip air yang digunakan untuk membekalkan air bersih kepada pengguna.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh seorang pengadu berusia 31 tahun yang mendakwa mewakili Jabatan Air dan membuat laporan pada kira-kira jam 4.30 petang hari yang sama.
Pengadu itu menegaskan bahawa dakwaan mesej suara tular itu adalah tidak benar, kerana “mayat” mangsa ditemui di dalam parit dan bukannya di dalam paip dan oleh itu tidak menjejaskan bekalan air bersih kepada pengguna.