TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menetapkan sasaran merancakkan kehadiran pelancong dari Asia Timur ke Sabah melalui penerbangan sewa dan komersil terus ke Lapangan Terbang Tawau (LTT) pada tahun hadapan.
Pembantu Menteri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, berkata usaha itu memberi tumpuan kepada pelancong dari China, Jepun dan Korea Selatan selain pasaran Eropah, sejajar dengan peningkatan operasi penerbangan sewa sehingga empat atau lima penerbangan, termasuk komersil.
“Kita juga merangka pelan lebih besar berdasarkan keupayaan LTT sebelum dan selepas dinaik taraf,” katanya ketika menyambut ketibaan 143 pelancong dari Shenzen, China melalui penerbangan sewa terus ke LTT pada Sabtu.
Dr Andi optimis kerja naik taraf dijangka siap pada 2028 akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang dan membolehkan lebih banyak penerbangan antarabangsa.
Beliau berkata kementerian akan merancakkan kempen promosi Tawau sebagai destinasi pelancongan popular, memanfaatkan produk tempatan seperti Taman Bukit Sabah, batuan bersusun dan tarikan gastronomi.
“Usaha terdahulu akan diperluas dan diperkenalkan kaedah baharu untuk meningkatkan kehadiran pelancong asing,” katanya.
Menurutnya, kementerian juga sedang merangka pelbagai program dan temasya khusus di Pantai Timur Sabah bagi menarik lebih ramai pengunjung luar negara, yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Dr Andi menegaskan penerbangan sewa membolehkan pelancong tiba dalam jumlah besar, menjana ekonomi tempatan dan merancakkan industri mikro di kawasan berkenaan.
“Tidak kira tujuan mereka sama ada untuk melancong ke Tawau atau Semporna atau kawasan berhampiran, kita melihat inisiatif sebegini perkembangan positif yang dapat meningkatkan lagi ekonomi Sabah.
“Kehadiran mereka juga dapat menjana ekonomi penduduk tempatan apabila turut berbelanja sekali gus menghidupkan industri mikro di tempat kita memandangkan pelancong yang mengikuti penerbangan sewa tiba dalam jumlah besar,” katanya.
Seorang pelancong wanita dari Shenzen, Chu Xiaoli, 30, berkata penerbangan sewa lebih mahal tetapi selesa dan menjimatkan masa kerana tidak perlu transit di Hong Kong atau Guangzhou.
Beliau yang pertama kali ke Sabah bersama pasangannya teruja untuk meneroka pengalaman menyelam di perairan Semporna dan merancang percutian romantik sambil meraikan hari jadi.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melaporkan China kekal penyumbang utama pelancong ke Sabah, dengan 534,975 ketibaan antara Januari hingga Oktober tahun ini.
Buat masa ini, Sabah dihubungkan melalui penerbangan sewa langsung ke Kota Kinabalu dari tujuh kota besar di China termasuk Hong Kong, Guangzhou, Shengzen, Shanghai, Beijing, Hangzhou dan Fuzhou.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffrey Jimit, berkata kehadiran besar pelancong melalui penerbangan sewa menunjukkan keberkesanan promosi berterusan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Penerbangan sewa dari Shengzen ke LTT dijangka membawa lebih 1,300 pelancong ke Tawau dan Semporna,” katanya.