SEBANYAK 10 ekor anjing telah ditangkap kerana berkeliaran tanpa pengawasan di jalan-jalan perumahan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kepayan serta sekitar pekan Manggatal sepanjang tempoh 11 bulan lalu.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata sebanyak 18 pemeriksaan telah dijalankan secara keseluruhan di lokasi-lokasi berkenaan antara 20 Januari hingga 26 November.
Menurutnya 10 pemeriksaan telah dijalankan di beberapa kawasan sekitar Kepayan termasuk Jalan Pahlawan dan Lorong Bunga Patuma dengan Unit Kawalan Haiwan (ACU) berjaya menangkap sembilan ekor anjing.
Seekor lagi anjing ditangkap dalam satu daripada lapan pemeriksaan yang dijalankan di Manggatal.
Beliau berkata ACU juga telah pergi ke pekan Inanam sebanyak tiga kali antara Januari hingga Oktober namun tidak menemui sebarang anjing berkeliaran.
“Tindakan ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha mengawal populasi anjing berkeliaran dalam kawasan pentadbiran kami.
“Seramai tujuh anggota unit telah berjalan kaki di kawasan awam semasa operasi dijalankan,” katanya.

Menurut beliau lagi anjing-anjing tersebut ditangkap menggunakan jaring tiub mudah alih sebelum dimuatkan ke dalam salah sebuah lori terbuka milik DBKK dan dibawa ke pusat tahanan anjing pihak berkuasa tempatan.
Pemilik haiwan peliharaan diberi tempoh tertentu untuk menuntut kembali anjing mereka namun diwajibkan menjelaskan kompaun terlebih dahulu sebelum haiwan tersebut diserahkan semula.
Selain itu mereka turut diberikan peringatan lisan mengenai garis panduan pemeliharaan anjing yang ditetapkan oleh DBKK.
“Mereka diingatkan mengenai had maksimum dua ekor anjing bagi setiap kediaman selain keperluan mendaftar anjing dengan pihak kami.
“Pemilik juga diminta memastikan anjing mereka diberi vaksin yang lengkap dan tidak mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya.
Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa DBKK telah menerima maklum balas daripada orang awam mengenai anjing yang menjadi gangguan di sekitar bandar raya.
Menurut aduan anjing-anjing terbabit mengejar pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki, pemandu dan penunggang basikal selain menyebabkan kekotoran dengan menjatuhkan tong sampah serta mengotorkan bahu jalan dengan najis.
“Dalam kebanyakan kes anjing-anjing ini adalah haiwan peliharaan berlesen dan bukan anjing liar. Ini bermakna masalah ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pemilik lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata DBKK telah berulang kali mengingatkan pemilik supaya memastikan anjing mereka dikurung dalam kawasan rumah dan menemani haiwan tersebut sekiranya dibawa keluar.
Anjing juga diwajibkan menggunakan tali pengekang ketika berada di kawasan awam.
“ACU diberi kuasa untuk menangkap mana-mana anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan di jalan-jalan di bawah bidang kuasa kami,” ujarnya.
Pemilik boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 kerana melanggar Undang-Undang Kecil Pendaftaran dan Kawalan Anjing DBKK 1963 (Pindaan 2008).
“Pesalah berulang boleh dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan penduduk mengenai sekumpulan anjing yang berkeliaran di kawasan Perumahan Kos Rendah Kepayan.
Seorang penduduk yang tampil membuat aduan berkata beliau pernah dikejar anjing sebanyak dua kali semasa berjalan pada waktu petang.
Menurutnya pengalaman itu begitu menakutkan sehingga beliau kini tidak lagi berani berjalan sendirian di kawasan kejiranan tersebut.
Butiran aduan tersebut telah disalurkan kepada DBKK melalui Hotline bagi tindakan lanjut.
Jurucakap berkenaan berkata ACU telah pergi ke kawasan itu sebaik menerima maklumat daripada pihak media.
“Tiada anjing berkeliaran dikesan di jalan-jalan perumahan di sini.
“Tiada seorang pun daripada penduduk yang kami temui mengaku memelihara anjing,” jelasnya.
Namun begitu beliau berkata pemeriksaan berkala akan terus dijalankan di kawasan tersebut bagi memastikan orang awam tidak terganggu oleh anjing yang tidak terkawal.