MEMBAKUT: Penamaan calon sempena pilihan raya umum (PRU17) bagi kerusi Membakut bakal menyaksikan pertembungan 10 penjuru.
Penyandang Datuk Ariffin Arif (GRS), berkhidmat selama lima penggal, bakal berhadapan tentangan daripada Rusman Dulamit (BN) dan Mohd Said (Warisan), kedua-duanya muka baru.
Advertisement

Pesaing lain termasuk Adrian Lajim (StarSabah) serta satu-satunya calon wanita dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Rowindy Lawrence Odong.
Calon dari parti-parti baharu seperti Parti Kerjasama Anak Negeri, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Impian Sabah, Parti Kebangsaan Sabah dan Bebas juga tidak ketinggalan dengan misi dan visi masing-masing.
Ariffin menyatakan beliau yakin kerusi Membakut kekal milik GRS.
Calon BN Rusman berazam untuk merampas semula kerusi kawasan itu yang merupakan milik Umno sebelum ini, dengan sokongan semua rakyat, terutamanya belia.
Di Bongawan, pertembungan sembilan penjuru bakal berlaku melibatkan penyandangnya, Dr Daud Yusuf (Warisan) yang akan berdepan saingan sengit daripada Datuk Mohammad Alamin (BN) yang merupakan bekas wakil rakyat Bongawan sebelum tewas kepada Dr Daud pada PRU14 tahun 2018 lalu, serta Tan Sri Anifah Aman (GRS) iaitu bekas Ahli Parlimen Kimanis yang membuat percubaan kali kedua selepas kalah kepada Dr Daud pada 2020.