Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 36 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar 339.1 gram syabu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Lim Hock Leng mendapati Sangdesar Bunjing bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam, 12 Februari 2024 di dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang diparkir di kawasan tempat letak kereta Pos Aviation Warehouse.
Sangdesar disabitkan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati setelah disabit kesalahan.
Dalam penghakimannya Dr Lim berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah dengan mengesahkan identiti, berat dadah serta pemilikan sebenar yang membawa kepada andaian undang-undang bahawa tertuduh terlibat dalam pengedaran.
“Tertuduh gagal menolak andaian statutori pengedaran dadah berdasarkan imbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dalam aspek penting lain,” katanya.
Peguam Jamadi Saleh yang mewakili Sangdesar dalam rayuan mitigasi memohon hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah, telah bekerja sebagai pekerja pengendalian darat di Pos Aviation sejak 2009 hingga ditangkap, berkahwin dan menjadi pencari nafkah tunggal keluarganya.
Pihak pembelaan turut menyatakan bahawa Sangdesar tidak terlibat dengan mana-mana sindiket atau pengedaran aktif dadah serta telah menyatakan penyesalan mendalam terhadap kesan kes ini terhadap keluarga, reputasi dan kehidupannya.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran memandangkan kesalahan berkaitan dadah semakin berleluasa di Sabah dan jumlah dadah yang terlibat adalah besar iaitu 339.1 gram syabu.
Sepanjang perbicaraan lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.
Dr Lim memerintahkan hukuman tersebut berkuatkuasa mulai tarikh tangkapan Sangdesar pada 12 Februari 2024.