Kota Kinabalu: Seorang ahli politik berusia 55 tahun yang digantung daripada jawatanya sebagai Penyelaras Parlimen Putatan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) akan mengetahui nasibnya pada 14 November ini berhubung pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan empat tahun lalu.
Mahkamah Majistret menetapkan tarikh tersebut bagi keputusan kes yang melibatkan Phillip Among yang digantung tugas pada Jun 2021 susulan dakwaan serangan seksual.
Phillip didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang gadis berusia 18 tahun pada 11 malam, 17 April 2021 di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.
Pada 10 Jun 2021 Phillip mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan 10 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan manakala seorang saksi pembelaan telah dipanggil setakat ini.
Kes tersebut dibicarakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Rekod mahkamah turut menunjukan bahawa Phillip masih menunggu keputusan bagi empat pertuduhan mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Peringkat Negeri 2021. Tarikh keputusan bagi kes-kes berkenaan belum ditetapkan.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat Phillip didakwa mencabul peserta berkenaan pada 19 Mei 2021 masing-masing pada jam 2 petang, 3.30 petang, 9.45 malam dan 10 malam.
Kejadian didakwa berlaku di tangga berhampiran Ever Best Photo di Asia City di Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City dalam sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan dari lokasi makan malam ke pejabat lama di bandar serta di sebuah pejabat di Metro Town.
Phillip ketika itu merupakan ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021.
Bagi kes tersebut lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang dijalankan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.