TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
(gambar) menyifatkan kali ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) memasuki gelanggang pilihan raya sebagai ‘kem favorite’ bukannya ‘kem underdog’.
Ketua GRS Zon 12 itu percaya GRS dan PH layak menjadi ‘favorite’ untuk menang pada pilihan raya sebagai penyandang pimpinan Kerajaan Negeri yang mencapai kestabilan politik malah turut memiliki hala tuju pelan pembangunan yang jelas menerusi inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Apabila kestabilan berlaku, kita boleh melihat pencapaian Sabah yang semakin meningkat dari segi ekonominya, malah banyak yang sudah dicapai melalui inisiatif-inisiatif SMJ termasuklah penyerahan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat,” katanya.
Nizam berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Usahawan Mikro (PUM) anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) Sabah di Ruang Legar Bangunan T2@Apas di sini pada Sabtu.
Menurutnya kesan perkembangan ekonomi yang positif pada era pentadbiran GRS dan PH juga berhasil menarik keyakinan pelabur sekaligus mendorong kepada pembukaan kawasan-kawasan perindustrian baharu.
“Perkembangan ini bukti kestabilan yang berhasil dicapai oleh Kerajaan Negeri pimpinan GRS dan PH, malah saya juga yakin rakyat menginginkan kerajaan stabil untuk membawa Sabah benar-benar berjaya dan maju,” katanya.
Tambahnya hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan juga memberikan kelebihan kepada GRS dan PH untuk memastikan lebih banyak manfaat yang dapat dilaksanakan di Sabah.
Beliau berkata perjuangan menuntut hak-hak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 juga menunjukkan sebanyak sembilan perkara sudah berjaya dimuktamadkan malah banyak lagi perkara yang baik boleh dinikmati rakyat.
“Kerajaan GRS dan PH juga sebenarnya sudah banyak melaksanakan projek-projek infrastruktur seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo, selain usaha menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik yang berpanjangan,” katanya.
Menyentuh PUM yang diadakan pula, Nizam menyeru usahawan-usahawan mikro termasuk usahawan wanita merebut peluang mengembangkan perniagaan masing-masing seiring dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Mengulas lanjut peluang yang terbuka dengan kepesatan AI dapat memberi ruang kepada usahawan-usahawan mikro yang bijak merebut peluang untuk menembusi pasaran global sekalipun perniagaan mereka beroperasi di peringkat lokal.
“Perkara sebegini juga adalah harapan Kerajaan yang ingin melihat lebih ramai usahawan kita yang bukan hanya berjaya di peringkat negeri atau kebangsaan tetapi turut mampu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.”
“Kerajaan juga mengadakan pelbagai kursus berkaitan kerana menyedari peluang ini harus diambil serius seiring perkembangan zaman, seperti memanfaatkan AI dalam penghasilan produk, penawaran perkhidmatan dan pemasaran yang menembusi pasaran global,” katanya.