DAP menurunkan gabungan calon baharu dan berpengalaman bagi lapan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, dengan senarai kali ini menampilkan keseimbangan antara calon lelaki dan wanita.
Antara yang mencuri tumpuan ialah calon termuda dalam pilihan raya kali ini, Chan Loong Wei, 25, yang akan bertanding di kerusi Luyang.
“Dalam setiap pilihan raya, kami membuat langkah strategik, terutamanya menempatkan calon paling kuat untuk menghadapi kerusi tertentu,” kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika mengumumkan senarai calon di Magellan Sutera Harbour, di sini, Sabtu.
DAP akan mempertahankan enam kerusi sedia ada iaitu Likas, Luyang, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat, serta meneroka dua kawasan baharu — Tanjung Aru dan satu lagi kerusi di pedalaman yang belum diumumkan.
Selain Loong Wei, muka baharu lain ialah Tang Szu Ching, 29, yang akan bertanding di Tanjong Papat, dan Philip Yap, 40, di Sri Tanjong.
Parti itu turut menurunkan Timbalan Menteri merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, untuk bertanding di Tanjung Aru — percubaan serius pertama DAP di kawasan berkenaan.
“Ini bukan kerusi mudah untuk DAP kerana kami bukan penyandang. Kami berdepan penyandang di kawasan campuran, sebab itu kami menempatkan Chan Foong Hin,” kata Loke.
Dalam satu lagi langkah strategik, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, akan berpindah dari kubu kuatnya di Luyang untuk bertanding di Likas. Bekas setiausaha politiknya, Chan Loong Wei, pula akan mengambil alih Luyang.
“Beliau (Phoong) popular di Sabah dan boleh bertanding di mana-mana. Oleh kerana beliau popular di Luyang, kami mahu beliau dikenali di luar kawasan itu juga,” kata Loke sambil menegaskan langkah itu mencerminkan semangat DAP untuk memperluas pengaruh dengan keluar dari zon selesa.
Calon lain termasuk Datuk Jannie Lasimbang yang mempertahankan Kapayan dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, yang akan bertanding di Elopura.
Loke berkata calon kelapan untuk kerusi pedalaman akan diumumkan tidak lama lagi, memberi bayangan bahawa calon tersebut mungkin seorang wanita. Namun, rundingan dengan rakan gabungan masih dijalankan bagi kerusi berkenaan.
“Kami bukan parti yang tamak. Kami hanya bertanding di kerusi yang mempunyai peluang cerah untuk menang dan di kawasan pedalaman ini, kami ada rekod prestasi,” katanya.
Beliau berkata parti itu mahu mengelak pertindihan dengan rakan gabungan utama dan memberi ruang untuk mencapai persefahaman.
“Kami mahu keharmonian. Kalau boleh, kami tidak mahu bertembung. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan pertembungan,” katanya sambil menambah bahawa semua calon DAP akan bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH), walaupun parti itu sebelum ini menggunakan simbol roket dalam pilihan raya di Sabah dan Sarawak.
“Kami sebahagian daripada gabungan persekutuan dan sebagai parti nasional, DAP serta kepimpinan DAP Sabah juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. Itu sebabnya kami kekal dengan logo Harapan,” jelasnya.
Dalam pilihan raya Sabah ke-16, DAP bertanding di tujuh kerusi dan menang enam, namun dua wakil rakyatnya dari Elopura dan Sri Tanjong keluar parti dan menyertai Parti Warisan pada 2022, manakala penyandang Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon, meninggalkan parti pada Oktober lalu.
Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Upko.