JURULATIH vokal berpengalaman besar dari Sabah, Rhowell Rolland sekali lagi membuktikan sentuhannya menerusi Telupid Vocal Masterclass 2025, yang berlangsung selama dua hari di daerah itu, baru-baru ini.
Program anjuran MV Event & Entertainment dengan kerjasama Kelab Rekreasi Artis Sabah dan Fortissimo Music Studio Tuaran itu menjadi platform penting untuk peserta memperkukuh teknik vokal, kawalan suara dan keyakinan di pentas profesional.
Rhowell, yang aktif dalam pelbagai platform pembangunan bakat tempatan, bertindak sebagai tenaga pengajar utama dalam program terbabit.
Menurut penganjur, Sylviana Viana Saiki @ Vie Jimmy, pemilihan Rhowell dibuat berdasarkan kepakarannya dalam pelbagai genre nyanyian serta pengalaman luas dalam industri hiburan negeri.
“Saya memilih beliau kerana bukan sahaja mahir dalam bidang vokal tempatan malah mempunyai pendekatan moden dan dinamik dalam melatih peserta supaya lebih yakin dan profesional di atas pentas,” katanya.
Tambahnya, kerjasama dengan Rhowell bukan sesuatu yang baharu kerana mereka sudah berganding tenaga menganjurkan bengkel vokal sejak lapan tahun lalu.
Menurut Sylviana, penglibatan Rhowell dalam pertandingan berprestij membuktikan kredibiliti serta dedikasinya dalam membantu bakat baharu Sabah untuk melangkah ke tahap profesional.
Bengkel itu merupakan kesinambungan daripada bengkel vokal yang diadakan pada Ogos lalu, juga di Telupid.
Program dua hari itu memberi tumpuan kepada latihan praktikal intensif termasuk sesi bimbingan individu dan berkumpulan, selain sesi penjurian pada persembahan akhir semua peserta.
Markah akhir dinilai berdasarkan aspek vokal, gaya persembahan, kreativiti serta penampilan keseluruhan.
Keputusan akhir menyaksikan duo Roger S Enty dan Florina Marcus diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik.
Sementara itu, trio Mohammad Ali Bin Karimi, Hildy @ Boy Albert dan Alvein Dee Albenus pula dipilih sebagai penerima Skor Tertinggi Pilihan Peserta menerusi persembahan acapella lagu Stand By Me yang memukau dan mempunyai aura tersendiri.