PUTRAJAYA: Tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan berhubung dakwaan pengguna menerima kuantiti minyak petrol RON95 yang kurang daripada sepatutnya selepas pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata kementerian mengambil serius beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa pengguna menerima petrol RON95 dalam kuantiti kurang dan berkualiti rendah.
Susulan itu, Azman berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali telah mengarahkan siasatan segera dijalankan secara telus demi melindungi hak pengguna.
“Sehingga kini KPDN telah menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 dan tiada aduan rasmi diterima berkaitan isu kualiti rendah,” katanya.
Azman berkata pegawai penguat kuasa KPDN telah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan itu, termasuk pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Budi95 tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.