Kundasang: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan golongan belia sebagai teras kemajuan masa depan negeri, selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkasa pembangunan modal insan supaya belia Sabah terus maju dalam pelbagai bidang.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membawa belia ke hadapan seiring dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Ini dapat dilihat melalui penyediaan bantuan pendidikan negeri Sabah yang meliputi pelbagai bentuk seperti biasiswa, sumbangan pelajar, tabung pendidikan, peralatan serta bantuan kewangan,” katanya ketika berucap pada majlis bersama belia Kampung Dumpiring Bawah, Jumaat lalu.
Dr Joachim, yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata bantuan pendidikan secara keseluruhan bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah dan memastikan lebih ramai rakyat negeri ini dapat melanjutkan pelajaran tanpa halangan atau beban kewangan.
Pada majlis itu, beliau turut menerima borang keahlian baharu PBS yang diserahkan oleh Nazrul Mohamin, serta mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baharu tersebut ke dalam parti.
Menurutnya, selain aspek pendidikan, kerajaan GRS turut menitikberatkan kesejahteraan sosial belia, termasuk melalui program perumahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dikhususkan untuk pasangan muda.
Bagi tujuan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, baru-baru ini mengumumkan penambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan DUN bermula tahun hadapan, menjadikan jumlah keseluruhan 50 unit berbanding 40 unit tahun ini.
“Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan GRS terhadap keperluan golongan belia, khususnya pasangan muda yang ingin membina kehidupan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Joachim menegaskan kesediaannya untuk meneruskan agenda pembangunan sedia ada dan memperhebatkan usaha selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi memastikan kemakmuran rakyat di Kundasang terus terjamin.
Turut hadir, Ketua Pemuda PBS Kundasang, Khairol Majide Kalimin, serta beberapa pemimpin tempatan.
Selain di Kampung Dumpiring Bawah, Dr Joachim turut menerima borang keahlian baharu PBS daripada penduduk Kampung Patau.