Kota Kinabalu: Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) Cawangan Sabah menggesa kerajaan memperkasakan agenda “Buatan Sabah” sebagai keutamaan strategik bagi menghadapi peningkatan kos bahan mentah petrokimia yang didorong kenaikan harga minyak mentah global.
Pengerusinya Liaw Hen Kong berkata ketegangan geopolitik yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran telah meningkatkan harga tenaga global selain mewujudkan ketidaktentuan dalam logistik serta rantaian bekalan antarabangsa.
Liaw, yang juga Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Sabah, berkata Sabah perlu memperkukuh asas sektor pembuatan bagi mengelakkan negeri itu terdedah kepada kejutan luar yang boleh menjejaskan industri penting dan bekalan asas.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga krisis berlaku barulah menyedari kelemahan kita. Dalam era peperangan dan pertikaian geopolitik yang mengganggu rantaian bekalan global, keupayaan berdikari bukan lagi sekadar pilihan ekonomi – ia satu keperluan untuk kelangsungan,” katanya dalam kenyataan, Isnin.
Beliau menegaskan Sabah perlu mengekalkan kawalan terhadap keupayaan pembuatan terasnya bagi menghadapi gangguan global yang tidak menentu.
Menurutnya, industri pemprosesan plastik tidak harus dilihat sebagai sektor terasing, sebaliknya komponen penstabil penting yang menyokong industri pemprosesan makanan di Sabah.
Katanya, pengeluaran tempatan pembungkusan gred makanan, bekas dan bahan pemeliharaan memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian bekalan makanan Sabah kekal stabil serta tidak terganggu.
Beliau menjelaskan kebergantungan tinggi terhadap bahan pembungkusan import boleh mendedahkan harga makanan tempatan kepada turun naik kadar pertukaran asing serta peningkatan kos pengangkutan antarabangsa.
“Industri plastik tempatan yang kukuh membolehkan sektor makanan bertindak balas dengan cepat, mengekalkan bekalan stabil serta menyediakan penyelesaian pembungkusan yang disesuaikan, sekali gus menjamin ketersediaan barangan keperluan kepada rakyat,” katanya.
Liaw berkata industri berkenaan kini berdepan apa yang disifatkannya sebagai “ancaman tiga serangkai”, iaitu peningkatan kos bahan mentah, pelarasan tarif elektrik dan kenaikan kos buruh.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan melaksanakan beberapa langkah strategik bagi menyokong industri pembuatan tempatan.
Antara cadangannya termasuk mengiktiraf sektor pembuatan sebagai pemacu utama kepelbagaian ekonomi Sabah, khususnya dalam pemprosesan petrokimia hiliran dan pembungkusan makanan.
Beliau juga mencadangkan campur tangan dasar seperti insentif cukai, subsidi tenaga serta geran transformasi teknikal bagi membantu pengilang tempatan menampung peningkatan kos operasi.
Selain itu, Liaw menekankan keperluan menambah baik kecekapan logistik dan kestabilan bekalan elektrik di zon perindustrian, di samping menyediakan lebih banyak tanah bagi memudahkan peluasan industri dan pelaburan baharu.
Menurutnya, langkah tersebut mampu mengurangkan ketidakcekapan operasi serta mengukuhkan ekosistem perindustrian Sabah.
“Jika Sabah terus sekadar menjadi pengeksport bahan mentah dan pengimport produk pembungkusan siap, kita akan kekal berada di bahagian paling bawah dalam rantaian nilai ekonomi.
“Dalam keadaan antarabangsa yang tidak menentu ketika ini, menyokong industri plastik dan pembuatan makanan tempatan bermakna melindungi talian hayat ekonomi Sabah,” katanya.