Tenom: Perkhidmatan pengangkutan kereta api Beaufort-Tenom yang tertangguh kira-kira tiga tahun lepas, beroperasi semula pada Jumaat.
Pengoperasian semula perkhidmatan pengangkutan keretapi itu kini melegakan penduduk khususnya di Kampung Pangi, Rayoh, Halogilat dan penduduk kedua-dua daerah Beaufort dan Tenom.
Advertisement

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan I Datuk Isnin Aliasnih dan rombongan adalah antara penumpang sulung perkhidmatan keretapi Beaufort-Tenom sejak perkhidmatannya tertangguh akibat runtuhan tanah disebabkan banjir besar pada 2022.
Isnin bersama rombongan datang ke Tenom bagi merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini, pada Jumaat.
Beliau disambut oleh Adun Kemabong Datuk Rubin Balang ketika tiba.
Ketika ditemui di Stesen Keretapi Tenom, Isnin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana dapat memulihkan kerosakan yang berlaku pada landasan yang menyebabkan perkhidmatan pengangkutan keretapi itu tertangguh.
“Pada awalnya kita menjangkakan ia boleh dipulihkan dalam tempoh singkat, tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal ia mengalami kelewatan. Bagaimanapun kita bersyukur kerana pada hari ini, perkhidmatannya yang sudah sekian lama tertangguh beroperasi semula,” jelasnya, menambah ia sudah tentu memudahkan penduduk kampung terbabit.
Selain itu, katanya, ia menjadi tarikan kepada pelancong dari luar negara yang ingin merasai suasana kereta api tahun 70an, memandangkan kereta api seumpama ini sudah tiada di negara mereka yang sudah jauh lebih maju.
Pada masa sama, Isnin menasihatkan penduduk yang masih menggunakan troli motosikal agar berhati-hati dan sentiasa merujuk jadual pergerakan kereta api bagi mengelakkan pertembungan.
Seorang penduduk, Lainah Landan berkata mereka kini merasa lega dengan kembalinya perkhidmatan itu.
Katanya, sejak landasan kereta api mengalami kerosakan tiga tahun lalu, mereka sukar pergi ke pekan Tenom.
“Kami terpaksa menggunakan troli motosikal dari Rayoh ke Pangi untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan kereta api ke pekan Tenom,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Rayoh, Kinakai Rilek turut berkongsi kegembiraan dengan berita itu.
Katanya, lebih kurang tiga tahun lalu mereka bergelut dengan pelbagai masalah kerana terpaksa menggunakan troli motosikal yang tidak menjamin keselamatan mereka.
“Selain kos tinggi berbanding tambang kereta api, ada penduduk yang pernah dipatuk ular berbisa sehingga meninggal dunia,” jelas Kinakai.
Justeru itu, katanya, mereka berharap perkhidmatan itu terus beroperasi dan jadualnya konsisten.
Turut berkongsi kegembiraan itu adalah sekeluarga pelancong dari Belanda yang tidak melepaskan peluang menaiki kereta api pada hari pertama ia beroperasi semula.
Manon Van Hulzen berkata, mereka sangat gembira kerana dapat menaiki kereta api dari Beaufort ke Tenom kerana ia sangat unik.
Menurut Manon, sepanjang perjalanan mereka menikmati suasana keindahan alam semula jadi dengan pemandangan hutan dan sungai.
Manon bersama suami dan tiga anak mereka bergegas dari Melangkap, Kota Belud sebaik sahaja mendapat tahu mengenai pengoperasian semula perkhidmatan kereta api itu melalui Internet.