Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan trend meningkat dalam pelantikan tetap dan kontrak interim di sektor perkhidmatan awam bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, Sabah bukan sahaja merekodkan bilangan permohonan tertinggi malah berada dalam kedudukan teratas dari segi lantikan baharu tahun lalu, sekali gus membuktikan kesedaran tinggi dalam kalangan belia negeri itu terhadap peluang kerjaya dalam sektor kerajaan.
Advertisement

“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Sabah kekal sebagai negeri dengan jumlah permohonan paling tinggi bagi mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam Persekutuan.
“Pada tahun 2024 sahaja, lebih 11 peratus daripada keseluruhan lantikan penjawat awam dibuat di Sabah, menjadikan negeri ini paling tinggi dari segi bilangan lantikan.
“Jadi ini satu indikator yang cukup baik, maknanya kesedaran yang tinggi dalam kalangan belia-belia ataupun lepasan pengajian tinggi untuk menyertai perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Kunjungan tersebut bertujuan memberikan penjelasan mengenai fungsi dan peranan SPA, khususnya dalam membantu Kerajaan Sabah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu, selain memaklumkan pencapaian semasa SPA.
Ahmad Jailani turut mendedahkan peningkatan penyertaan itu sebagai petanda positif terhadap tahap kesedaran dan minat belia Sabah, termasuk lepasan institusi pengajian tinggi, untuk menyertai perkhidmatan awam.
“Maknanya, mereka tidak lagi was-was untuk memohon kerana dulu risau takut ditukarkan ke Semenanjung ataupun ke negeri lain, jauh dari negeri Sabah, tetapi hari ini nampaknya kesedaran itu telah jelas. Jadi, mereka tidak lagi memilih untuk berkhidmat di mana-mana pun, yang penting dapat menyertai perkhidmatan dalam kerajaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SPA telah mula melaksanakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengambilan penjawat awam, khususnya dalam ujian penilaian awal.
“Itu memang kita kena manfaatkan. Jadi, dalam konteks penggunaan AI ini kita memberi perhatian awal dengan ujian kemasukan.
“Ujian ini kita panggil Psikometrik Calon (PC), yang mempunyai sistem penggubalan soalan untuk memastikan tidak ada usaha untuk memanipulasi soalan berkenaan.
“Dengan adanya AI ini, ia secara automatik berubah daripada satu calon kepada calon lain yang menduduki ujian. Ia tidak akan gunakan soalan sama untuk individu sama ataupun individu berbeza.
“Dengan penggunaan AI ini, kita dapat memastikan setiap individu yang menduduki ujian itu dibezakan soalan-soalan itu, dan akhirnya dapat mencerminkan sifat sahsiah seseorang itu untuk sebelum mereka dipanggil temuduga dan sebagainya.
“Kita akan menggunakan teknologi AI dengan lebih mendalam lagi ataupun lebih jauh lagi, khusus dalam membuat verifikasi. Ini penting kerana verifikasi ini untuk memastikan dia punya elemen ketulenan data peribadi,” katanya, menambah ini termasuk pengesahan ketulenan sijil dan butiran peribadi pemohon.
Beliau turut menekankan komitmen SPA dalam membantu Kerajaan Sabah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, antaranya menerusi program Kembara Kerjaya Madani SPA yang diadakan di Kudat dan Pulau Banggi.
“Alhamdulillah, ini satu pencapaian yang cukup baik dan kita juga sudah lakukan banyak outreach program ataupun program untuk mendekati belia dan pewanis melalui kembara kerjaya Madani SPA, dengan yang terbaru di sekitar Kudat dan Banggi.
“Kita dapat menyantuni ramai belia dan pewanis di sana untuk kita berikan tips untuk menghadiri temuduga dan juga bagaimana untuk memohon peluang-peluang dalam sektor perkhidmatan awam persekutuan ini,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said serta Setiausaha, Datuk Ikhbal Hanam Mukras.