LABUAN: Seramai 120 belia berumur antara 15 hingga 30 tahun telah menyertai program Running Man Explorace Challenge yang telah dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif bagi Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan.
Jurucakapnya berkata program yang berlangsung bersempena Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Labuan 2026 ini melibatkan penyertaan sebanyak 30 kumpulan yang terdiri daripada empat anggota bagi setiap pasukan.
Program ini dirancang bagi memperkasakan golongan belia sebagai penggerak komuniti melalui aktiviti pembangunan diri, kepimpinan, kesukarelawanan, kerjasama berpasukan serta amalan gaya hidup sihat.
“Selain itu, ia turut menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai belia menyertai pertubuhan belia dan memainkan peranan aktif sebagai penggerak di peringkat akar umbi,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, peserta melalui cabaran di enam lokasi pemeriksaan (check point) terpilih di sekitar Pulau Labuan yang menguji ketahanan fizikal, kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi serta semangat berpasukan.
Pasukan Power Rangers muncul pemenang, diikuti Meow-Meow dan P.I.A masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Hadiah saguhati pula dimenangi oleh pasukan AGD, Kiu-Kiu dan Override Squad.