Kota Kinabalu: Institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) perlu diperkukuh melalui reformasi pelantikan kepimpinan serta penambahbaikan kebajikan pemimpin adat.
Adun Inanam Edna Majimbun berkata institusi itu kekal sebagai benteng terakhir dalam memelihara adat dan tradisi Sabah, justeru perlu diperkasa selaras dengan keperluan pentadbiran moden.
Beliau berkata pemerkasaan MAN penting bagi memastikan kedaulatan hak adat terus terpelihara di negeri ini.
“Institusi ini bukan sekadar warisan sejarah, tetapi entiti perundangan yang diiktiraf di bawah Perlembagaan. Jika kita mahu ia terus kukuh dan dihormati, struktur serta kebajikannya perlu diperkasakan terlebih dahulu,” katanya ketika membahaskan Titah Yang Dipertua Negeri pada persidangan DUN, di sini.
Edna mencadangkan tiga langkah utama, termasuk reformasi mekanisme pelantikan kepimpinan adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri.
Beliau berkata elemen keterangkuman perlu diberi perhatian dalam pelantikan bagi memastikan institusi itu kekal relevan dalam masyarakat majmuk.
Antara cadangannya ialah garis panduan lebih menyeluruh yang mengambil kira keseimbangan sosioagama antara pemimpin Islam dan bukan Islam, selain kepelbagaian etnik mengikut dominasi komuniti di setiap daerah.
“Ini bukan sekadar soal jawatan, tetapi memastikan keadilan pengagihan supaya pemeliharaan adat turut diterjemahkan kepada keadilan yang dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan pemberian insentif khas atau bonus tahunan kepada pemimpin adat setara dengan faedah diterima penjawat awam negeri.
Katanya, walaupun berstatus kontrak atau lantikan politik, pemimpin adat memainkan peranan penting dalam pentadbiran undang-undang adat serta mengekalkan ketenteraman awam.
“Pemberian insentif ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan, malah mampu meningkatkan martabat dan integriti institusi Mahkamah Anak Negeri,” katanya.
Edna menggesa kementerian berkaitan meneliti cadangan tersebut secara serius, sambil menegaskan bahawa pengukuhan MAN penting bagi memelihara identiti Sabah serta menjamin keadilan kepada rakyatnya.