TAMBUNAN: Seramai 500 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (Star) di Tambunan bertindak mengambil meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan ekoran sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Star.
Tindakan yang turut membabitkan ahli-ahli Star dari Mukim Lintuhun dan Mukim Misorulung itu diketuai Ketua Pemuda Star Cawangan Misorulung, Jaibie Joseph, manakala Borang kemasukan diserahkan kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, dalam satu majlis, di sini.
Jaibie ketika ditemui berkata, selain hilang kepercayaan terhadap hala tuju Star, keputusan untuk menyertai PGRS dibuat selepas melihat kepimpinan parti itu yang disifatkan lebih dekat dengan rakyat serta memberi perhatian kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, kepimpinan yang ditunjukkan Presiden PGRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Victor serta barisan kepimpinan parti di seluruh Sabah telah memberi keyakinan kepada mereka bahawa PGRS mampu menjadi wadah lebih sesuai untuk perjuangkan aspirasi rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, keputusan itu bukan kerana Star tidak mengambil berat terhadap rakyat, sebaliknya mereka merasakan pendekatan kepimpinan PGRS yang lebih inklusif dan menyatukan, diperlukan bagi menghadapi cabaran semasa.
“Kami mahukan kepimpinan yang menyatukan rakyat. Apabila penduduk memerlukan bantuan atau mahu menyuarakan masalah, pemimpin sentiasa hadir bersama mereka sebagaimana yang sering dilakukan kepimpinan PGRS Tambunan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
“Itulah bentuk kepimpinan yang kami cari dan menjadi sebab utama kami mengambil keputusan meninggalkan Star seterusnya menyertai PGRS dan berharap kemasukan mereka dapat memperkukuhkan lagi jentera PGRS Tambunan,” katanya pada Sabtu.
Sementara itu, Victor menyifatkan kemasukan 500 bekas ahli Star itu sebagai petanda bahawa semakin ramai rakyat menyedari kepentingan berada dalam sebuah parti yang kukuh dan stabil seperti PGRS.
Beliau berkata, rakyat kini lebih cenderung memilih platform politik yang mampu menjamin pembangunan, kestabilan dan perpaduan di Sabah berbanding perjuangan politik tidak menentu yang hanya akan mewujudkan perpecahan.
“Kita menolak perpecahan dan menerima sesiapa sahaja yang mahukan kemajuan serta pembangunan untuk rakyat. Apa yang penting ialah semangat kesatuan dan kerjasama demi masa depan Sabah.
“Malah, penyertaan beramai-ramai ahli Star ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih ramai lagi ahli daripada pelbagai latar belakang parti untuk menyertai PGRS pada masa akan datang.
“Pada masa sama, perkembangan ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan PGRS di Tambunan serta memperkasakan persediaan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-16 (PRU18) yang akan datang,” tegasnya.