SATU pameran seni yang menampilkan karya-karya terpilih daripada Pertandingan Potret Kreatif Pemimpin Sabah 2026 diadakan sempena sambutan Jubli Emas Tragedi Double Six.
Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Fauziahton Ag Samad
(gambar) berkata pameran itu bukan sahaja bertujuan menghargai pemimpin yang terlibat dalam tragedi berkenaan malah menggalakkan penyertaan orang ramai dalam mengingati satu bab penting dalam sejarah Sabah.
“Bukan sekadar mengenang tragedi itu, kami mahu peserta memahami pemimpin yang terlibat dan menterjemahkan pemahaman itu melalui karya seni mereka.
Pertandingan ini memberi peluang kepada mereka untuk menghayati sejarah Sabah sambil menonjolkan kreativiti masing-masing,” katanya.
Pertandingan terbabit dibahagikan kepada tiga kategori iaitu murid sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun, pelajar sekolah menengah serta kategori pelajar institusi pengajian tinggi dan orang awam.
“Maklum balas yang diterima melebihi jangkaan dengan kira-kira 100 karya seni dihantar,” tambah beliau sambil menekankan peranan ekspresi kreatif dalam memastikan naratif sejarah terus relevan.
“Bagi peserta muda yang kebanyakannya lahir beberapa dekad selepas tragedi itu berlaku, projek ini memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari satu peristiwa penting dalam sejarah politik Sabah melalui penyelidikan dan penglibatan kreatif bukan hanya menerusi buku teks,” jelasnya.
Pameran itu akan dibuka kepada orang ramai di Galeri Double Six, Sembulan sehingga penghujung tahun ini membolehkan pengunjung melihat karya-karya pemenang serta hasil seni terpilih yang dipamerkan.