TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif sedia menyokong usaha menaikkan semula reputasi sukan bola tampar termasuk membuka ruang perbincangan bersama Persatuan Bola Tampar Sabah (Sava) bagi mengatasi kekangan logistik termasuk peningkatan kualiti pasukan dan pemain.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kementerian juga sentiasa komited menyediakan bantuan kewangan melalui geran tahunan kepada persatuan sukan negeri yang menunjukkan komitmen tinggi serta melakar pencapaian cemerlang.
“Kekangan logistik atau dana tidak seharusnya menjadi isu besar memandangkan kementerian melihat perkara ini berdasarkan kes demi kes, malah persatuan atau kelab yang ingin menganjurkan aktiviti boleh mengemukakan permohonan dana untuk dipertimbangkan,” katanya.
Nizam berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Terbuka Daerah Tawau yang disertai 24 pasukan melibatkan 14 pasukan lelaki dan 14 pasukan wanita dari sekitar Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu anjuran Kelab Danakan Bumiputera Tawau di Kompleks Sukan Tawau di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut beliau mengakui walaupun bola tampar Sabah pernah menjadi penyumbang pingat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) suatu ketika dahulu, prestasi pasukan itu sedikit merosot kebelakangan ini sehingga diletakkan dalam Kategori B untuk penyertaan kebangsaan.
“Sukan yang berada dalam Kategori B bermakna jika mereka berjaya menyumbang pingat dalam kejohanan disasarkan, kedudukan mereka akan dinaikkan semula ke Kategori A dan segala perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak persatuan akan dibayar balik oleh kementerian,” katanya.
Menurutnya inisiatif penganjuran kejohanan bola tampar di peringkat daerah juga wajar terus disokong sebagai platform kompetitif dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke tahap lebih tinggi sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.
Nizam percaya jika kejohanan terus konsisten diadakan, Sabah bukan hanya berpeluang mencungkil bakat-bakat pelapis untuk mewakili negeri tetapi turut memupuk kesedaran komuniti terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat demi kecergasan fizikal dan minda.
Menyentuh perkembangan berasingan berkaitan persiapan menghadapi Sukma yang dijadual berlangsung pada Ogos depan, Nizam memaklumkan Sabah kini berada dalam fasa akhir persediaan atlet yang berpotensi untuk mendapatkan pingat pada temasya.
“Memandangkan tempoh saingan berbaki dua bulan lagi, kementerian kini giat menyaring senarai panjang atlet kepada senarai akhir bagi memastikan sasaran pingat mampu dicapai kerana kita akan menyertai sekurang-kurangnya 28 jenis sukan, merangkumi acara wajib dan pilihan,” katanya.