SIPITANG: Projek Sabah Southern Madani Link (SSML), yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2028, akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh grid bekalan elektrik Sabah menerusi pengimbangan pengagihan tenaga antara pantai barat dan pantai timur negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata projek yang menghubungkan grid elektrik kedua-dua kawasan itu amat penting memandangkan Pantai Timur kini berdepan kekurangan kapasiti penjanaan tenaga, selain loji jana kuasa berasaskan gas yang menghasilkan elektrik pada kos lebih rendah ketika ini tertumpu di Pantai Barat Sabah.
“Itulah sebabnya kita memerlukan hubungan pantai barat dan pantai timur ini, sekali gus membolehkan bekalan elektrik berkos lebih rendah disalurkan ke kawasan di Pantai Timur Sabah yang mempunyai permintaan tertinggi,” katanya.
Projek SSML sepanjang 330 kilometer itu akan melengkapkan rangkaian penghantaran 275 kilovolt (kV) Sabah, membolehkan bekalan elektrik disalurkan sama ada menerusi talian Penampang-Sandakan sedia ada yang merentasi bahagian tengah Sabah atau talian baharu Sipitang-Tawau di bahagian selatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan projek SSML di sini hari ini (Sabtu).
Mohd Yaakob berkata pengukuhan grid penghantaran utama itu juga dibuat berdasarkan pengajaran daripada insiden tidak dijangka yang berlaku tahun lalu.
Beliau berkata pada 13 Sept tahun lalu, sebuah menara talian penghantaran 275kV di Penampang yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah tumbang akibat tanah runtuh, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur.
“Insiden itu menunjukkan betapa pentingnya sambungan baharu ini bagi melengkapkan grid penghantaran utama 275kV kita,” katanya, menambah matlamat utama projek itu adalah bagi memastikan sistem bekalan elektrik negeri lebih berdaya tahan.
Beliau turut menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan pasukan kejuruteraan dan teknikal syarikat utiliti itu untuk menyiapkan projek mega berkenaan berdasarkan rekod prestasi yang kukuh.
Berdasarkan maklumat Sabah Electricity, projek itu dilaksanakan khusus bagi memperkukuh kebolehpercayaan, keselamatan dan daya tahan sistem penghantaran elektrik Sabah menerusi pembinaan laluan penghantaran 275kV kedua di bahagian selatan negeri.
Setakat 26 Mei 2026, projek infrastruktur berimpak tinggi bernilai RM198 juta itu telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 17 peratus.
Pecahan kemajuan fizikal menunjukkan fasa perancangan dan reka bentuk merupakan komponen paling maju dengan 43 peratus, diikuti kerja awam dan pemasangan peralatan masing-masing sebanyak 14 peratus, manakala perolehan berada pada tahap 10 peratus.
Projek itu secara rasmi bermula pada 17 Sept 2025 dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan dengan penyerahan penuh dijadualkan pada 16 Sept 2028.
Mengikut jadual pelaksanaan, kerja pemasangan dan pembinaan di tapak Sipitang dijangka bermula pada Julai 2026, manakala ujian penuh serta pentauliahan dijadual dilaksanakan pada Ogos 2028.
Setelah siap, projek itu dijangka memastikan pengagihan bekalan elektrik yang lebih stabil dan cekap kepada semua kategori pengguna termasuk kawasan perumahan, premis komersial, sekolah, hospital dan sektor perindustrian di Sabah.
Dari segi skop kerja, projek SSML melibatkan pembinaan talian penghantaran atas 275kV litar berkembar sepanjang 60 kilometer dari Mengalong ke Upper Padas, selain kemudahan interkoneksi di pencawang masuk utama Mengalong.
Kerja teknikal lain merangkumi reka bentuk kejuruteraan primer dan sekunder, pembekalan menara jenis kekisi, konduktor ACSR Twin Bison 350 milimeter persegi, Optical Ground Wire (OPGW) 48 teras, pengurusan logistik, kerja tanah, perlindungan cerun serta ujian sistem kawalan sebelum pentauliahan.