Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 30 tahun dipenjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana mencederakan isterinya dalam pertengkaran yang berpunca daripada kegagalannya membayar sewa bilik.
Fikree Kasmuri mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 36 tahun di sebuah bilik sewa di Asia City kira-kira jam 5 petang, 12 April lalu.
Advertisement
.gif)
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu Seksyen 326A memperuntukkan hukuman maksimum boleh digandakan sekiranya kesalahan dilakukan terhadap pasangan.
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa membuat laporan polis selepas dipukul oleh tertuduh di bilik sewa mereka di Asia City.
Menurut fakta kes pasangan itu bertengkar selepas Fikree gagal membayar sewa bilik kerana wang berkenaan telah digunakan untuk berjudi secara dalam talian.
Pertengkaran yang semakin tegang menyebabkan tertuduh bertindak agresif dengan menumbuk dahi mangsa sebelum mencekiknya di bahagian leher.
Siasatan turut mendapati Fikree sering memukul mangsa setiap kali berlaku pertengkaran antara mereka.
Fikree merayu hukuman ringan namun pihak pendakwaan memohon hukuman yang memberi pengajaran.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 27 tahun didenda RM100 atau penjara tiga hari kerana gagal memberikan penjelasan memuaskan mengenai wang berjumlah RM265,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Kuah Kar Weng mengaku melakukan kesalahan itu antara 22 Disember 2020 hingga 12 Januari 2021 di sebuah rumah di Luyang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah Cap 80) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes seorang pengadu menemui iklan di Facebook pada 28 Oktober 2020 yang kononnya menawarkan nombor loteri kemenangan dari sebuah kuil di Thailand.
Selepas menekan iklan tersebut pengadu dibawa ke laman Facebook dikenali sebagai “SJ_MIAN_CALFO” yang didakwa mewakili sebuah pertubuhan keagamaan.
Pengadu kemudian diminta memberikan nombor telefon untuk mendapatkan nombor loteri berkenaan.
Antara 29 Oktober 2020 hingga 12 Januari 2021 pengadu membuat beberapa transaksi ke pelbagai akaun bank selepas dijanjikan hadiah kemenangan loteri.
Salah satu akaun tersebut ialah akaun CIMB milik Kuah yang menerima wang berjumlah RM264,640.
Pengadu akhirnya memasukkan sejumlah RM769,248 ke dalam beberapa akaun sebelum diminta membuat bayaran tambahan RM300,000.
Berasa curiga dan percaya dirinya menjadi mangsa penipuan pengadu membuat laporan polis yang membawa kepada siasatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.