Kota Kinabalu: Sembilan pendatang asing tanpa izin (PTI) dipenjara dan didenda oleh mahkamah pada Rabu kerana memasuki Sabah tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua tertuduh yang terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan mengaku bersalah secara berasingan terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Advertisement
.gif)
Enam daripada mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan manakala tiga lagi didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Mereka ditahan dalam operasi pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap.
Selepas selesai menjalani hukuman masing-masing, kesemua PTI terbabit diperintahkan dirujuk semula kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sementara itu mahkamah menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina yang berdepan pertuduhan sama.
Kes tersebut ditangguhkan sementara menunggu pengesahan sijil kelahiran kedua-dua tertuduh oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).