Kota Kinabalu: Pasukan bomba berdepan cabaran luar biasa hujung minggu lalu apabila sebuah keluarga mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengeluarkan bangkai seekor anak kucing yang mati di bawah bumbung rumah dua tingkat mereka di Taman Seputeh, Jalan Damai, di sini.
Bau busuk yang dipercayai berpunca daripada bangkai itu menyebabkan keluarga berkenaan meminta bantuan selepas mendengar suara anak kucing dari bumbung rumah selama lebih seminggu.
Advertisement
.gif)
Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (Ibu Pejabat Bomba) Tc. Mohd Affendy K. Ramin berkata beliau menerima panggilan bantuan daripada Chong Jan Fah, seorang jurutera bersara, pada jam 9.37 pagi Sabtu.
Susulan itu, sepasukan tiga anggota dari Ibu Pejabat Bomba di Jalan Lintas dihantar ke kediaman Chong.
Anggota bomba, Jairul Japisin, dengan bantuan rakan setugasnya Rayner Ampayak dan Justin Eyuk, berjaya mengesan bangkai yang sudah separa reput itu menggunakan cahaya lampu telefon bimbit selepas membuka lampu pendarfluor berbentuk bulat pada siling ruang tamu.
Dengan memasukkan tangan kanannya melalui lubang pada siling, Jairul menggunakan sebatang kayu untuk menarik bangkai tersebut ke arah lubang sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik dan mengeluarkannya dari lokasi berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada pasukan bomba atas tindakan pantas mereka walaupun ketika cuti umum,” kata pesara berusia 77 tahun itu.