Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api, Loi Kok Liang (gambar) menyambut baik operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama agensi berkaitan terhadap pengemis dan kanak-kanak jalanan di pusat bandar, namun menegaskan penguatkuasaan semata-mata tidak memadai tanpa pemulihan menyeluruh.
Dalam kenyataan, Loi berkata isu berpanjangan itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam dan kebajikan kanak-kanak, malah memberi kesan kepada imej pelancongan Sabah.
Loi berkata beliau pernah membangkitkan perkara itu secara rasmi dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Disember tahun lalu selepas melihat kanak-kanak kecil, malah ada antaranya mendukung bayi, berkeliaran di persimpangan jalan sibuk untuk mengemis.
“Kanak-kanak ini terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam nyawa setiap hari. Pada masa sama, keadaan ini menjejaskan imej bandar raya dan boleh mengurangkan keyakinan pelancong untuk datang ke sini.
“Pelancongan bukan sekadar membawa pelawat ke Sabah, tetapi memastikan mereka berasa selamat, selesa dan dilindungi sepanjang masa berada di negeri ini,” katanya.
Beliau turut memuji operasi terbaharu yang dijalankan di beberapa kawasan termasuk Jalan Durian, namun menegaskan tindakan itu perlu dilakukan secara konsisten dan menyeluruh, bukan sekadar operasi bermusim.
Advertisement

Katanya, pendekatan “tangkap hari ini, lepas esok” tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya tiada susulan pemulihan yang berkesan.
“Golongan yang diselamatkan terutama kanak-kanak perlu diberikan perlindungan sewajarnya, termasuk tempat tinggal, kaunseling, pendidikan dan pemantauan penuh sepanjang tempoh pemulihan tiga bulan.
“Tanpa komitmen sebenar terhadap proses pemulihan, masalah ini akan terus berulang dan segala usaha menjadi sia-sia,” katanya.
Loi berkata isu pengemis jalanan hanyalah sebahagian daripada pelbagai masalah lain yang masih membelenggu pusat bandar raya selain lampu jalan malap, sistem pembetungan dan lurang tersumbat, liputan kamera litar tertutup (CCTV) yang terhad serta kebimbangan keselamatan susulan insiden serangan senapang angin terhadap pelancong sebelum ini.
Beliau berjanji akan terus memantau perkembangan isu itu dan membangkitkannya kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan konkrit diambil demi kesejahteraan rakyat, imej Kota Kinabalu dan masa depan industri pelancongan Sabah.