KUNAK: Sebanyak 18 ekor lembu disumbangkan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif yang juga Adun Kunak Dato Sri Anil Sandhu bagi perlaksanaan ibadah korban di sini sempena menyambut Hari Raya Aidiladha.
Antara penerima lembu korban tahun ini termasuk sekolah menengah di sini yang menerima tiga ekor setiap sekolah dan seekor diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Kunak, Pejabat Daerah & Unit UPPM, Majlis Daerah Kunak dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Selebihnya turut diagihkan ke kampung-kampung termasuk lapan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk masjid di kawasan kampung terlibat,” katanya pada Isnin.
“Insya Allah, kita akan terus berusaha untuk menyumbang lebih banyak lagi pada masa hadapan supaya lebih ramai masyarakat khususnya umat Islam dan komuniti sekitar dapat menerima manfaat daripada ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun.
“Semoga segala sumbangan ini dapat membantu dan mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita, dan menyantuni golongan memerlukan sempena menyambut Hari Raya Aidiladha”, katanya.
Anil berkata beliau difahamkan beberapa syarikat industri perladangan dan kilang sawit di sini turut melaksanakan sumbangan lembu korban kepada komuniti di kawasan tertentu untuk sama-sama mengimarahkan ibadah korban.