KENINGAU: Hasrat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun untuk ‘bereksperimen’ ketika bermain di bawah kolong rumah bertukar detik cemas apabila jari hantunya tersangkut pada penapis singki logam dalam satu kejadian pada petang Sabtu.
Kejadian berkenaan memaksa mangsa dikejarkan ke Hospital Keningau sebelum pihak hospital menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapatkan bantuan khas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 4.20 petang.
Sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Ranizan Samirin dikejarkan ke lokasi dan tiba di zon kecemasan hospital pada jam 4.27 petang.
Menurut komander operasi pasukan penyelamat terpaksa merangka strategi khusus dengan menggunakan peralatan pemotong khas (mini grinder) bagi memotong penapis logam yang mengikat kemas jari kanak-kanak terbabit.
“Proses pemotongan yang mengambil masa hampir 40 minit itu berjalan dengan penuh teliti. Kanak-kanak berkenaan yang pada mulanya kelihatan tenang mula menangis ketakutan dan mengadu kepanasan sebaik sahaja bilah alat pemotong mula menyentuh besi penapis tersebut.
“Bagaimanapun tindakan pantas ibunya yang sentiasa berada di sisi memberikan pujukan berjaya menenangkan mangsa sepanjang operasi kritikal itu berlangsung.
“Anggota bomba akhirnya berjaya memotong dan mengeluarkan penapis singki tersebut sepenuhnya pada jam 5.05 petang tanpa melibatkan sebarang kecederaan serius pada jari mangsa,” katanya.