SOOK: Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan sebagai garis panduan pengurusan sumber hutan negeri bagi tempoh 25 tahun akan datang.
Ketua Menteri,Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam merasionalisasikan guna tanah, bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan konservasi alam sekitar.
Menurut beliau, menerusi pelan tersebut semua Kawasan Ekologi Sensitif (ESA) akan terus dilindungi tanpa mengabaikan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Katanya, usaha itu turut seiring dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi Pelan Pembangunan SMJ 2.0, khususnya dalam pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dataran Sook, pada Sabtu.
Hajiji turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk mengekalkan 50 peratus litupan hutan Sabah selaras Dasar Hutan Sabah 2018.
Katanya, ketika ini Sabah masih mengekalkan 63 peratus kawasan litupan hutan negeri melibatkan 3.85 juta hektar kawasan hutan simpan serta kawasan perlindungan lain.
Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata Sabah juga komited mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus keluasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya bagi memperkasa pengurusan hutan dan melindungi khazanah biodiversiti negeri.
Menurutnya, peranan hutan kini semakin penting sebagai “carbon sink” atau kawasan penyerap karbon dalam membantu mengurangkan impak pemanasan global serta perubahan iklim.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk komuniti setempat agar terus bersama kerajaan dalam memelihara khazanah hutan negeri demi kesejahteraan generasi akan datang.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Sabah menerima peruntukan terbesar di bawah Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT), sebagai pengiktirafan terhadap komitmen berterusan negeri itu dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan secara lestari.
Menurutnya, bagi tempoh 2019 hingga 2025, Sabah menerima lebih RM126 juta di bawah peruntukan EFT.
Bagi 2026 pula, penyaluran pertama melebihi RM22 juta telah disalurkan kepada Sabah pada Februari lalu, sebelum tambahan RM7.949 juta diumumkan sempena majlis itu.
Katanya, pemberian insentif itu membuktikan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kesungguhan Sabah dalam mengekalkan kawasan berhutan serta melaksanakan pengurusan sumber asli secara mampan.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi memperkukuh pengurusan hutan negeri, meningkatkan infrastruktur ekopelancongan, memperkasa konservasi biodiversiti serta memacu agenda pendigitalan sektor perhutanan.
Arthur berkata, Sabah memainkan peranan penting dalam usaha mitigasi perubahan iklim negara memandangkan negeri itu mempunyai keluasan kawasan berhutan yang signifikan serta kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.
Menurutnya, pendekatan pengurusan hutan secara lestari yang diamalkan Sabah turut menjadi contoh dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.
Beliau turut memuji komitmen kerajaan negeri melalui pelbagai dasar dan inisiatif pemuliharaan yang memberi penekanan terhadap perlindungan kawasan sensitif ekologi serta pembangunan hijau.
Katanya lagi, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting dalam memastikan agenda konservasi hutan dan biodiversiti terus diperkukuh secara menyeluruh.