KOTA BELUD: Aktiviti berkelah bertukar tragedi apabila dua beradik ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berhampiran Polumpung Melangkap View Camp Site, di sini, pada Ahad.
Mangsa kedua Daniel Abdullah, 18, ditemukan oleh orang awam pada jam 12.04 tengah, kira-kira 200 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan hanyut dan disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.
Sehari sebelum itu, abangnya Zul Hakim Abdullah, 23, ditemukan meninggal dunia pada jam 10.18 pagi, Sabtu selepas tersangkut di batu kira-kira 300 meter dari kawasan Polumpung Camp Site.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud Elge Bakuk berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.05 pagi Sabtu apabila empat individu turun mandi di kawasan tepi sungai bawah jambatan gantung di lokasi terbabit.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum usaha menyelamat oleh ahli keluarga dan orang awam gagal.
Advertisement

Difahamkan, mangsa bersama ahli keluarga dan rakan seramai 15 orang datang ke kawasan rekreasi itu dari Kampung Warisan Inanam, Kota Kinabalu untuk beriadah.
Panggilan kecemasan kemudian dibuat oleh abang sepupu mangsa, Azwan, menerusi Sistem NG999 pada jam 9.21 pagi sebelum meminta bantuan daripada pihak pengurusan Polumpung Camp Site.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan kedua-dua mangsa.
Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka pada jam 12 tengah hari Sabtu sebelum operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor dalam radius enam kilometer dari lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi dijalankan di sekitar sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air serta pemeriksaan di pesisir sungai.
Operasi SAR hari kedua bermula pada jam 7.30 pagi Ahad dengan taklimat disampaikan ASP Franki dari IPD Kota Belud kepada semua petugas dan agensi terlibat.
Operasi membabitkan seramai 40 anggota terdiri daripada APM, bomba, polis serta orang awam dengan penggunaan pelbagai aset termasuk ambulans, kenderaan pacuan empat roda, bot rafting dan dron.
Operasi SAR ditamatkan pada jam 1.30 petang Ahad selepas mangsa kedua berjaya ditemukan manakala PKTK turut ditutup. Pihak berkuasa memaklumkan keadaan cuaca hujan serta arus sungai deras dipercayai menjadi antara faktor kejadian.