KUDAT: Seramai 18 ketua isi rumah yang merupakan mangsa kebakaran di Kampung Perpaduan, Gumpa dekat sini menerima sumbangan berupa wang tunai RM1,000 dan barangan dapur.
Kebakaran yang meranapkan lapan buah rumah kira-kira pada jam 10.45 pagi pada 16 April lalu itu turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri.
Bantuan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Gumpa dekat sini pada Jumaat.
Mustapha berkata, walaupun Perdana Menteri telah turun ke Kampung Bahagia, Sandakan baru-baru ini untuk menyerahkan bantuan, beliau juga mengarahkan pihaknya untuk datang ke Kudat bagi mewakili beliau menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran.
Menurut Mustapha, kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri tidak akan mengabaikan mana-mana rakyat negara ini yang terlibat dalam bencana samaada kebakaran, banjir atau lain-lain bencana untuk senantiasa dibantu.
“Kita juga akan berbincang sekiranya ada keperluan lain, terutama yang melibatkan anak-anak bersekolah. Mereka perlu ke sekolah walaupun belum mempunyai pakaian seragam sekolah.
Menjawab isu yang mengatakan mangsa banjir di Paitan, Beluran tidak menerima bantuan, Mustapha menjelaskan bahawa kebakaran atau banjir, prosedurnya adalah sama.
Mangsa akan ditempatkan di PPS kemudian mereka yang berdaftar akan menerima sumbangan yang sama.
Bagaimanapun, mungkin terdapat kes tertentu yang menerima sumbangan tambahan, tetapi secara asasnya prosedur adalah sama.
Jika mereka berdaftar di PPS, mereka akan menerima bantuan mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Dalam pada itu, Mustapha menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan berlakunya kebakaran ekoran musim panas yang dijangka berlarutan hingga bulan Jun ini.
Katanya, kita juga harus mendidik anak-anak supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di rumah, khususnya dalam mengendalikan peralatan elektrik, dapur dan sebagainya bagi mengelak berlakunya kebakaran.
Selain itu, Mustapha juga berharap agar pihak bertanggungjawab dapat menyediakan PPS yang selesa dan berfungsi dengan baik termasuk kemudahan asas demi keselesaan mereka yang ditempatkan disitu.