KOTA BELUD: Seorang lelaki ditemukan lemas manakala adik lelakinya masih hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan di Melangkap Baru, di sini, pagi Sabtu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang ditemukan meninggal dunia dikenali sebagai Zul Hakim Abdullah, 23, manakala mangsa belum ditemui dikenali sebagai Daniel Abdullah, 18.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 9.26 pagi.
Susulan itu, seramai sembilan anggota beserta jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh kira-kira 30 kilometer dari balai. Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.01 pagi dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisir sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
“Mangsa pertama ditemui pada jam 10.18 pagi kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian,” katanya. Menurut Elge, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, operasi SAR bagi seorang lagi mangsa masih diteruskan di sekitar lokasi kejadian dalam radius satu kilometer.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di kawasan sungai, terutama ketika cuaca tidak menentu dan arus deras.
Operasi turut dibantu empat anggota polis serta tiga petugas KKM.