LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan mengeluarkan notis kompaun terhadap seorang pengusaha bengkel kerana gagal memberikan penyata bertulis kepada pengguna sebelum menjalankan perkhidmatan pembaikan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan Amiluddin Malang berkata tindakan itu diambil susulan aduan pengguna dan pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguatkuasa di sebuah bengkel kenderaan di kawasan bandar.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata kesalahan itu adalah di bawah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 yang dikuatkuasakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).
Menurutnya, peraturan itu mewajibkan pengusaha bengkel memberikan butiran bertulis kepada pengguna seperti anggaran kos pembaikan, alat ganti yang akan digunakan, caj perkhidmatan serta skop kerja pembaikan sebelum sebarang perkhidmatan dimulakan.
“Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh menjejaskan hak pengguna untuk memperoleh maklumat yang jelas dan membuat keputusan tepat sebelum bersetuju mendapatkan perkhidmatan,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.