LAHAD DATU: Empat individu cedera dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di Lahad Datu dan Ranau.
Pada Jumaat tiga lelaki cedera selepas kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan di Jalan Bakapit, Tungku.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 pagi.
Seramai sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer menggunakan jentera FRT dan kenderaan EMRS.
Komander operasi melaporkan bahawa sebuah Proton Wira terbabas ke bahu jalan dan melibatkan tiga individu.
Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa berusia 19, 27 dan 44 tahun itu telah dibantu orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Silabukan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum menamatkan operasi pada jam 7.45 pagi.
Sementara itu di RANAU seorang pemandu van cedera parah selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah lori treler pada petang Khamis.
Mangsa lelaki berusia 51 tahun itu tersepit di dalam van dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas.
Kemalangan yang turut melibatkan sebuah Toyota Veloz itu berlaku di Jalan Ranau-Telupid berhampiran Kampung Tanah Merah kira-kira jam 5 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata sejurus berjaya dikeluarkan mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
Pemandu serta penumpang Toyota Veloz dan lori treler dilaporkan tidak mengalami kecederaan.