KUDAT: Lebih 2,700 liter petrol dirampas, antara lain, di sini dan di Semporna oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) minggu ini.
KPDN Kudat menerima serahan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata kes itu melibatkan tangkapan seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun yang ditahan oleh PPM di muara Sungai Kampung Kimihang, di sini.
Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan di dalam sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran bersama sejumlah barang kawalan tanpa memiliki dokumen atau kebenaran yang sah.
Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dipercayai pemilik bot pam tersebut yang membawa 1,400 liter petrol di dalam tujuh tong dram besi, 408 kilogram (kg) minyak masak dan 168kg gula pasir kasar.
Selain itu, katanya, rampasan turut melibatkan tiga unit enjin bot pam yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan tersebut, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM15,000.
KPDN Kudat merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat atas kerjasama strategik, komitmen tinggi serta tindakan proaktif dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di perairan Kudat.
Dalam masa sama, KPDN terus komited memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi serta krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan kestabilan harga.
KPDN Kudat turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau salah laku peniaga melalui saluran rasmi termasuk WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 80002; Portal Aduan http://eaduan.kpdn.gov.my3; Pusat Panggilan 1-800-886-8004; E-mel: eaduan@kpdn.gov.my5 dan aplikasi Ez ADU KPDN6.
Di SEMPORNA, lebih 1,300 liter petrol yang dipercayai diseleweng dirampas dalam dua kes berasingan di sini, pada Rabu.
KPDN Semporna memaklumkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM55,000.
Petrol berkenaan dirampas dalam operasi berasingan yang dijalankan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dan PPM sebelum diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut.
Dalam kes pertama, PGA Kunak merampas 175 liter petrol bersama sebuah bot laju dan enjin sangkut dalam operasi di Jeti Kayu, Jalan Kastam.
Seorang individu turut ditahan dalam operasi tersebut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM50,747.25.
Kes kedua melibatkan rampasan tanpa tangkapan oleh PPM di sebuah rumah atas air di Kampung Srijaya.
“Operasi tersebut membawa kepada rampasan 1,175 liter petrol dengan anggaran nilai RM5,017.25,” menurut kenyataan KPDN, menambah kedua-dua kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.