LAHAD DATU: Seramai 65 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen Sabah dalam operasi di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat susulan Ops Sapu di Lahad Datu serta Ops Mahir dan Ops Sapu di Kota Kinabalu.
Dalam Ops Sapu di Lahad Datu, seramai 69 individu diperiksa dengan 50 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki, sembilan wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan dari Filipina. Turut ditahan ialah tiga lelaki, tiga wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan dari Indonesia.
Di Kota Kinabalu, seramai 41 individu diperiksa dalam Ops Mahir dan Ops Sapu dengan 15 warga asing ditahan, membabitkan dua lelaki dan lapan wanita dari Filipina serta lima lelaki dari China.
Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Jabatan berkata ia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras pendatang tanpa izin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terjamin.