Mon, 4 May 2026
Headlines:
Advertisement
Tempoh lebih ketat, penalti lebih tinggi terhadap pemaju
Published on: Friday, May 01, 2026
Published on: Fri, May 01, 2026
By: Sherell Jeffrey
Text Size:
Text:
Tempoh lebih ketat, penalti lebih tinggi terhadap pemaju
Isnin berkata pembaharuan undang-undang itu dijangka mempercepat dan memperkemas pengurusan hak milik subsidiari untuk manfaat kerajaan, industri pembangunan hartanah, institusi kewangan dan pembeli.
Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tanah (Hak Milik Subsidiari) 2026 yang merombak pengurusan hak milik strata di Sabah dengan liputan lebih luas, tempoh masa lebih ketat serta penalti lebih tinggi terhadap pemaju.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata pembaharuan undang-undang itu dijangka mempercepat dan memperkemas pengurusan hak milik subsidiari untuk manfaat kerajaan, industri pembangunan hartanah, institusi kewangan dan pembeli.

Advertisement
“Perundangan baharu ini digubal bagi mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih komprehensif, moden dan praktikal untuk pecah bahagi bangunan atau tanah kepada petak di bawah hak milik subsidiari,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu.

Beliau berkata enakmen baharu itu tidak lagi terhad kepada bangunan sahaja seperti di bawah Enakmen 1972, sebaliknya turut merangkumi bangunan atau tanah, termasuk tanah dengan dua atau lebih bangunan yang boleh dipecah bahagi kepada petak berasingan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Isnin berkata, perubahan itu mencerminkan peluasan skop perundangan selaras dengan keperluan pembangunan semasa serta kepelbagaian model pembangunan strata di Sabah.

Enakmen baharu itu menggantikan Enakmen Tanah (Hak Milik Subsidiari) 1972 dan distruktur semula daripada tujuh kepada lapan bahagian yang mengandungi 54 fasal.

Advertisement
Antara perubahan dasar utama ialah pemisahan bidang kuasa pengurusan bangunan dan perbadanan pengurusan daripada enakmen lama kepada Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

RUU itu juga menetapkan syarat yang mewajibkan pemilik tanah memohon pecah bahagi dalam tempoh tertentu.

Advertisement
Bagi bangunan yang siap sebelum enakmen berkuat kuasa, permohonan perlu dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kuat kuasa atau sebelum mana-mana unit petak dijual selepas tarikh tersebut, yang mana lebih awal.

Bagi bangunan yang dibina selepas enakmen berkuat kuasa, permohonan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh sijil struktur atas (superstructure) dikeluarkan oleh arkitek.

“Ini merupakan perubahan ketara berbanding undang-undang sedia ada yang hanya membenarkan permohonan dibuat selepas Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurutnya, tempoh permohonan lebih awal itu bertujuan memberi fleksibiliti kepada pemaju tanpa menjejaskan akauntabiliti kawal selia.

RUU itu juga memperketat keperluan dokumentasi bagi permohonan pecah bahagi, termasuk pelan pecah bahagi bangunan, salinan geran tanah yang diperakui, jadual petak di bawah Enakmen Pengurusan Bangunan 2026, pelan bangunan diluluskan atau disahkan arkitek, sijil struktur atas, sijil bayaran fi ukur serta persetujuan bertulis pemegang gadaian jika tanah dicagarkan. Pendekatan itu bertujuan meningkatkan ketepatan data dan mengurangkan pertikaian semasa pemprosesan serta pengeluaran hak milik.

Peruntukan baharu turut memperkenalkan mekanisme lebih fleksibel melalui Hak Milik Subsidiari Sementara, termasuk bagi petak pembangunan dan kes melibatkan kebenaran pecah bahagi berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi di bawah Enakmen Pengurusan Bangunan 2026.

Ia bertujuan menangani situasi ukuran akhir belum dilaksanakan atau pembangunan dibuat secara berfasa tanpa menjejaskan pengeluaran hak milik subsidiari apabila syarat dipenuhi.

Rang undang-undang itu juga memperuntukkan penukaran daftar hak milik subsidiari kepada format elektronik.

Fasal 14 hingga 18 meliputi penukaran dokumen, indeks, penyata daftar dan salinan pelan diperakui kepada bentuk elektronik dengan pengesahan melalui tandatangan digital oleh Pendaftar.

Langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan pentadbiran, keselamatan rekod serta kebolehcapaian dokumen.

Dari segi penguatkuasaan, rang undang-undang itu memperkenalkan peruntukan khusus mengenai kuasa pegawai diberi kuasa termasuk memasuki premis, menjalankan siasatan, mengakses data komputer, merampas rekod, menghalang pengubahan rekod serta mengambil tindakan terhadap sebarang halangan.

Penalti di bawah undang-undang baharu itu juga jauh lebih tinggi, dengan kegagalan mematuhi kewajipan memohon pecah bahagi dalam tempoh ditetapkan dianggap kesalahan serius yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta, selain denda harian sehingga RM1,000 selepas sabitan.

Mahkamah juga diberi kuasa di bawah Seksyen 5 untuk mengarahkan pemilik tanah membuat permohonan pecah bahagi bangunan atau tanah atau pengeluaran hak milik subsidiari dalam tempoh tertentu.

RUU itu secara jelas memansuhkan Enakmen 1972, namun mengandungi peruntukan simpanan dan peralihan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran.

Permohonan yang masih tertangguh di bawah undang-undang lama akan diteruskan di bawah enakmen baharu, manakala hak milik subsidiari dan daftar sedia ada kekal sah sehingga diproses semula, disemak atau diganti mengikut keperluan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here