Fri, 1 May 2026
Headlines:
Advertisement
Cadangan bangun lebuh raya digital di Sabah
Published on: Thursday, April 30, 2026
Published on: Thu, Apr 30, 2026
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:
Text:
Cadangan bangun lebuh raya digital di Sabah
Kota Kinabalu: Ahli dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (gambar) mencadangkan pembangunan Lebuh Raya Digital Serantau Borneo Utara sebagai projek strategik bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam kecerdasan buatan (AI), inovasi dan ekonomi digital.

“Aspirasi Kerajaan Negeri dalam bidang itu hanya dapat direalisasikan dengan prasarana digital kukuh, berskala besar dan berdaya saing di peringkat serantau.

Advertisement
“Jika dahulu lebuh raya fizikal membuka kawasan pedalaman dan merancakkan ekonomi kini lebuh raya digital menjadi penentu daya saing negeri serta tulang belakang kepada pembangunan pusat data, ekonomi platform dan pendidikan digital,” katanya ketika membahaskan Titah Yang Dipertua Negeri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurutnya Sabah mempunyai kelebihan geografi strategik di Borneo Utara yang berdekatan Laut Sulu dan Laut Celebes serta wilayah selatan Filipina dan Kalimantan sekali gus berpotensi menjadi hab pasaran digital serantau.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Katanya kawasan seperti Palawan, Puerto Princesa dan wilayah Bangsamoro selain Pantai Timur Sabah merangkumi populasi jutaan penduduk namun Sabah berisiko terpinggir jika tidak bertindak segera dalam pembangunan infrastruktur digital.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan projek berkenaan yang turut melibatkan aspek kedaulatan digital, keselamatan data dan masa depan ekonomi negeri.

Advertisement
Dalam perkembangan lain Saifuddin membangkitkan isu bekalan air di Papar yang bukan sahaja melibatkan kapasiti, malah kualiti sumber air mentah akibat kandungan klorida tinggi atau fenomena air masin.

Beliau berkata gangguan bekalan air susulan penutupan sementara Loji Rawatan Air EWSS Papar baru-baru ini membuktikan isu itu masih berulang dan menjejaskan rakyat.

Advertisement
Bagi menangani masalah itu beliau mencadangkan tiga pendekatan iaitu kajian teknologi penyahgaraman sebagai sokongan jangka panjang, memastikan projek Loji Rawatan Air Kogopon II mengikut jadual serta mempercepat pembangunan muka sauk alternatif di Kampung Kabang.

Dalam sektor perikanan beliau turut mengetengahkan kebimbangan nelayan kecil di Kuala Papar dan Pantai Manis yang terjejas akibat kos operasi meningkat serta pencerobohan kapal komersial di kawasan tangkapan tradisional.

Katanya walaupun sistem pemantauan iiVMS (Intruder Intervention system Vessel Monitoring System) telah dilaksanakan, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan supaya aduan nelayan diberi perhatian dan kawasan tangkapan mereka dilindungi.

Beliau turut mencadangkan rondaan dipertingkatkan, saluran aduan dipermudah serta pengukuhan Skuad Rakan Laut Papar dengan penglibatan komuniti nelayan.

Selain itu beliau menekankan keperluan menaik taraf kemudahan nelayan seperti jeti, tempat pendaratan ikan, stor peralatan, kemudahan ais dan ruang jualan secara berfasa bagi meningkatkan rantaian nilai ekonomi pesisir.

Mengulas isu infrastruktur darat, Saifuddin mencadangkan pembinaan laluan alternatif baharu termasuk jambatan tambahan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Benoni, Plaza 22, Sungai Padang dan Kampung Sapat.

Beliau berkata pertambahan penduduk dan kenderaan menyebabkan rangkaian jalan sedia ada tidak lagi mencukupi, justeru pembinaan laluan baharu perlu dipercepatkan.

Dalam usaha merancakkan ekonomi tempatan, beliau turut mencadangkan pembangunan semula Pekan Lama Papar sebagai pusat warisan dan pelancongan komuniti melalui konsep ‘Papar Old Town Heritage Street’.

Katanya, pendekatan itu mampu membuka peluang kepada usahawan kecil, pengusaha homestay, nelayan dan belia menjana pendapatan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Talent Pool Belia Papar bagi memadankan tenaga kerja tempatan dengan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran, termasuk dalam sektor digital.

“Anak muda Papar tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi. Mereka mesti diberi ruang untuk menjadi tenaga kerja digital, usahawan dan pencipta nilai dalam ekonomi baharu.

“Rakyat bukan sahaja mahukan pengumuman projek, tetapi pelaksanaan berkesan supaya manfaatnya benar-benar dirasai,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here