Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 29 tahun dikenakan denda RM1,800 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah di Kampung Warisan, Inanam.
Tertuduh Darwisa Mursedi membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan memasuki rumah tanpa kebenaran pada jam 6.30 pagi, 22 April tahun ini.
Pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh memasuki rumah pengadu ketika penghuni sedang tidur di ruang tamu.
Siasatan mendapati dua ahli keluarga pengadu iaitu ibu saudara dan adik menyedari kehadiran tertuduh di dalam rumah selepas terdengar pintu bilik mereka dibuka.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 23 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyimpan barang curi.
Tertuduh Madil Abirin didakwa memiliki sebuah beg tangan jenama Gucci Rush yang dilaporkan dicuri milik Dayangku Siti Zulaikha di sebuah unit di Puri Warisan Apartment, Inanam pada 8 April 2025 jam 1 tengah hari.
Pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 Jun untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,600.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.