PEMBANGUNAN infrastruktur dan utiliti akan terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan Sabah dengan tumpuan kuat terhadap peningkatan ketersambungan, kelestarian dan kualiti hidup.
Musa berkata penekanan akan diberikan kepada pembinaan serta naik taraf jalan raya, selain pelaksanaan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan.
Katanya, inisiatif ini akan meningkatkan mobiliti penduduk dan membantu mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau menambah pembangunan infrastruktur pengangkutan juga menjadi fokus utama Kerajaan Negeri bagi memperkukuh ketersambungan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan Negeri sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan sistem kereta api moden yang menghubungkan Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar sebagai langkah memperkukuh sistem rangkaian logistik negeri.
“Negeri juga akan melaksanakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah sebagai rangka kerja strategik jangka panjang untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang mampan, selamat dan cekap.
Advertisement

“Melengkapi usaha ini ialah pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti di Kota Kinabalu, yang bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan bandar,” katanya.
Mengenai bekalan air, Musa berkata Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat, memperluas liputan bekalan air luar bandar serta mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW).
Beliau menambah keutamaan akan diberikan kepada pembinaan dan naik taraf projek loji rawatan air di seluruh Sabah, selain pelaksanaan program NRW secara lebih menyeluruh yang akan diperluas ke 12 daerah di negeri ini.
“Pengurusan air sisa juga kekal sebagai fokus utama, bertujuan melindungi kesihatan awam, memelihara sumber air dan memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Musa berkata negeri bercadang mengguna pakai teknologi geospatial dan sistem pengkomposan dalam bekas tertutup bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan pembetungan negeri.
Dalam sektor tenaga, beliau berkata Sabah akan memperkukuh kestabilan sistem bekalan elektrik melalui pelaksanaan Pelan Bekalan Elektrik Jangka Panjang.
“Pelan ini memberi tumpuan kepada kepelbagaian sumber penjanaan termasuk tenaga boleh diperbaharui, penggunaan gas asli bagi loji puncak, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta teknologi baharu lain yang relevan.
“Selain itu, usaha memperkukuh bekalan tenaga di Pantai Timur akan dipertingkatkan melalui Fasa 1A Projek Talian Penghantaran Southern Link (TPSL),” katanya.
Dalam sektor maritim, Musa berkata langkah proaktif sedang diambil bagi meningkatkan keselamatan pelayaran melalui pembinaan alat bantuan navigasi serta naik taraf kemudahan, termasuk pembinaan Fasa 4 dan 5 Terminal Feri Menumbok selain beberapa jeti awam di lokasi strategik.
Beliau turut berkata Kerajaan Sabah sedang mempergiat usaha menangani peningkatan kekerapan banjir dan tanah runtuh dengan terus memberi tumpuan kepada langkah mitigasi bagi mengurangkan impaknya.
Antara inisiatif utama yang dipertingkatkan, katanya, termasuk pelan pencegahan dan mitigasi banjir, penambahbaikan sistem saliran bandar utama serta pengukuhan sistem amaran awal banjir.
Selain itu, Musa berkata negeri juga akan memberi keutamaan kepada pemulihan cerun berisiko tinggi dan penstabilan kawasan mudah runtuh bagi meminimumkan risiko kejadian berulang.
Katanya, peruntukan turut disalurkan bagi naik taraf dan penyelenggaraan jalan serta jambatan untuk memastikan infrastruktur pengangkutan yang terjejas akibat bencana alam dapat dipulihkan dengan segera.