Kota Kinabalu: Seorang lelaki penganggur dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin kerana menyimpan sebuah motosikal curi.
Napoleus Josili, 30, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan menyimpan secara tidak jujur sebuah motosikal jenis WMoto WM110 milik Dimas Andrian Ansar.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 1.30 petang pada 13 Disember 2025 di tepi jalan di Kampung Pulutan, Manggatal.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu motosikal berkenaan dilaporkan hilang pada 2 Disember 2025 dari kawasan apartmen di Bandar Sierra.
Bertindak atas maklumat dalam “Ops Lejang” sepasukan polis ke Kampung Pulutan pada awal pagi 3 Disember 2025 dan memerhati dua lelaki mencurigakan selama kira-kira 30 minit.
Hasil pemeriksaan Napoleus ditahan dan sebuah motosikal yang dilaporkan curi dirampas.
Peguam bela Lim Ming Zoong yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya masih bujang dan tidak bekerja selain memohon hukuman bermula dari tarikh tangkapan kerana telah direman.
Pendakwaan pula memohon hukuman berbentuk pencegahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan serta membenarkan motosikal itu dipulangkan kepada pemilik asalnya.
Dalam kes berasingan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 47 tahun didakwa memindahkan harta curi.
Donald J Molison mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan memindahkan secara tidak jujur sebuah dram berisi minyak masak terpakai milik sebuah premis perniagaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11.20 malam pada 19 April tahun ini di sebuah rumah di Kampung Kasigui, Jalan Tambunan, Penampang.
Pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 30 Jun untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh dan Inspektor Yusdi Basri.