TAWAU: Seorang lelaki, 39, yang mengurung isteri dan tiga anaknya selama tujuh jam serta mengugut mahu membunuh mereka di perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan ditangkap pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata polis menerima maklumat kejadian sekitar jam 8.30 malam selepas suspek, yang juga warga tempatan, bertindak agresif di rumahnya.
Suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah mengunci isteri dan tiga anaknya di dalam rumah serta mengugut sesiapa yang cuba masuk.
“Suspek turut mengeluarkan kata ugutan akan membunuh mereka sambil membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya.
Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Zulham Affendi Zulkifli bersama anggota dari Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi kejadian.
Jasmin berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan rumah gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya termasuk parang, sabit serta paip besi berada di rumah berkenaan.
“Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang berada dalam keadaan agresif sebelum menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa.
“Polis menggunakan taser gun (senjata perenjat elektrik) bagi melumpuhkan suspek yang agresif sebelum dia ditahan pada jam 10.30 pagi pada keesokkannya.”
Polis turut merampas dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.
Jasmin menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi ancaman, keganasan rumah tangga atau individu bertindak luar kawalan untuk diambil tindakan segera.