SANDAKAN: Seramai 11 individu ditahan dalam siri Ops Tapis selama tiga hari bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dari 13 hingga 15 April lalu.
Ketua Polis Daerah, ACP George Abd Rakman berkata, tiga lelaki ditahan dalam operasi pada Rabu (15 April) yang diadakan dari jam 11 pagi hingga 2 petang di Kampung Sibugal Besar, Batu 10, di sini.
“Dua daripada mereka disyaki memiliki syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi disyaki menyalahgunakan dadah.
“Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Seorang lagi lelaki ditahan secara berasingan di bawah Seksyen 15(1)(a) selepas turut didapati positif dadah.
Pada Selasa (14 April), Ops Tapis dijalankan di kawasan setinggan Kampung Jambatan Merah, Batu 1½ serta Taman Merpati, Batu 7 kira-kira jam 10.30 malam.
Dalam operasi itu, tiga lelaki ditahan kerana disyaki memiliki methamphetamine serta memasukkan dadah ke dalam badan.
Ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif amphetamine dan methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a).
Dalam satu lagi tangkapan pada hari sama, seorang lelaki ditahan dan didapati positif dadah selepas ujian saringan dilakukan di pejabat BSJND.
Terdahulu pada Isnin (13 April), operasi di sekitar kawasan setinggan Jambatan Merah membawa kepada penahanan tiga lelaki selepas serbuan di sebuah rumah tidak bernombor.
Dua suspek disyaki memiliki syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2), manakala seorang lagi disyaki terlibat dalam penagihan dadah.
Semua suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine melalui ujian saringan awal air kencing dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a). Mereka kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.