PM Anwar mengumumkan sumbangan ihsan RM 1,500 kepada setiap keluarga yang terjejas dengan kebakaran di Kampung Bahagia.
Katanya, seramai 300 keluarga akan menerima sumbangan tersebut, dengan anggaran keseluruhan sumbangan adalah RM450,000, yang akan disalurkan melalui Unit Penyelaras Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Anwar juga mengumumkan bantuan khas RM300 bagi setiap anak warganegara Malaysia bersekolah yang terjejas. Bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada 454 pelajar dari 12 sekolah.
“Jabatan Kebajikan akan menyegerakan pemberian pakaian seragam kepada mereka, sementara kelonggaran akan diberikan dari segi pemakaian.
“Keadaan ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab hadir ke sekolah,” katanya.
Beliau menambah, bantuan tambahan seperti pengangkutan ke sekolah akan disediakan, khususnya bagi anak-anak yang tinggal di PPS yang jauh dari sekolah.
Advertisement

Turut mengiringi Anwar dalam lawatan tersebut ialah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.