Kota Kinabalu: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu, melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, di sini, kira-kira jam 11 pagi Isnin.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2024.
“Suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027,” katanya.
Tambah sumber lagi, suspek turut menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi yang sama untuk mendapatkan beberapa kontrak kerja lain di beberapa agensi kerajaan sekitar negeri ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Advertisement

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.