Kota Kinabalu: Keputusan muktamad mengenai pemberian khas 40 peratus Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dibuat tanpa sebarang kelewatan, kata Pengerusi Kelab Backbencher Sabah (BBC) Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata perbincangan berpanjangan serta proses mahkamah yang masih berjalan tidak wajar diteruskan tanpa penyelesaian.
“Keputusan konklusif diperlukan bagi menamatkan spekulasi berhubung isu berlarutan antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, Selasa.
Perkara itu timbul hasil resolusi dalam sesi libat urus eksekutif anjuran BBC bersama Pejabat Setiausaha Politik Ketua Menteri di Kota Kinabalu.
Sesi tersebut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan, Ahli Parlimen Sabah serta pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Masiung berkata cadangan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) untuk tindakan susulan.
Advertisement

“Keputusan perlu dibuat bagi menamatkan perbincangan berlarutan tanpa kata sepakat mengenai hak Sabah terhadap hasil 40 peratus di bawah MA63,” katanya.
Beliau berkata pasukan rundingan Sabah kekal optimis Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mampu mencapai penyelesaian yang memberi manfaat bersama.
Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco berkata ahli Majlis perlu menghormati resolusi yang dibangkitkan dalam sesi libat urus itu.
Beliau menambah isu lain yang turut dibincangkan termasuk kebimbangan terhadap populasi bukan warganegara di Sabah serta kenaikan tarif elektrik.