RANAU: Cadangan penubuhan sebuah lembaga industri durian Sabah dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan sektor durian negeri tanpa membebankan petani dengan bayaran ses, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Katanya, usaha penubuhan lembaga itu bukan baharu, malah sudah lama dibincangkan dan kini sedang diperhalusi dengan kertas kerja yang telah dibawa ke Kabinet.
“Cadangan ini bukan baru. Kita sudah ada kertas kerja dan sudah dibawa ke Kabinet. Namun sebelum ini timbul kebimbangan sekiranya lembaga itu ditubuhkan ia akan membebankan petani durian,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Peladang Durian Ranau di Rumah Rehat Lohan pada Sabtu.
Jamawi berkata, kebimbangan utama petani ialah kemungkinan lembaga itu mengenakan ses terhadap hasil durian seperti yang diamalkan oleh beberapa lembaga lain.
“Bagaimanapun, bagi lembaga durian ini, kita cuba memastikan ia memberi lebih banyak bantuan dan sokongan kepada petani, daripada mengenakan ses terhadap hasil buah durian,” katanya.
Beliau yakin penubuhan lembaga khas itu akan membantu merancang dan mengukuhkan industri durian khususnya dalam meningkatkan pengeluaran durian premium di Sabah.
Advertisement

“Setakat ini, kita hanya mampu mengeluarkan kira-kira 40 peratus daripada keperluan durian premium, manakala 60 peratus lagi masih diimport dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Jelasnya, durian premium merujuk kepada varieti berkualiti tinggi seperti Musang King, Blackthorn dan IOI yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa petani mengambil peluang menukar durian kampung kepada durian premium melalui teknik cantuman dewasa.
“Di Lohan, saya dapati ada enam orang yang mahir dalam cantuman dewasa. Jadi kita akan bantu melalui inisiatif tertentu,” katanya. Sebagai permulaan, beliau mengumumkan pembiayaan untuk 500 pokok pertama bagi proses cantuman dewasa di Ranau.
“Bagi Ranau, saya akan menaja 500 pokok pertama untuk cantuman dewasa. Petani boleh membuat tuntutan terus dengan saya berdasarkan laporan yang dikemukakan,” katanya.
Menurutnya, Sabah kini mempunyai kira-kira 20,000 hektar tanaman durian yang mana hanya 5,000 hektar daripadanya adalah durian premium.
Katanya, lambakan durian kampung setiap musim menyebabkan harga jatuh serendah RM3 sekilogram sekali gus menjejaskan pendapatan petani.
“Kami tidak mahu petani hanya mendapat ‘ngam-ngam’. Kami mahu mereka mempunyai lebihan pendapatan, sebab itu kami menggalakkan penukaran kepada durian premium,” katanya.
Beliau berkata, keadaan jalan pertanian yang teruk termasuk yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda terus menyukarkan petani untuk mengeluarkan hasil.
“Saya akan terus memperjuangkan peruntukan tambahan bagi jalan kampung dan sistem pengairan,” katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Peladang Durian Ranau, Datuk Japiril Suhaimin; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pengerusi Persatuan Peladang Kinabalu, Datuk Haji Faimin Kamin; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau; Elmer Endra Datuk Matius Sator dan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Daerah Ranau, Aliyu Zinin.
Dalam program berasingan, Jamawi melawat Kampung Bongol, Tamparuli bagi memantau jalan-jalan pertanian untuk petani di situ.