Kota Kinabalu: Presiden Upko Datuk Ewon Benedick tidak bersetuju dengan bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh yang mencadangkan supaya geran khas 40 peratus kepada Sabah tidak diberi keutamaan sebaliknya fokus harus diberikan kepada pembangunan seperti sekolah dan hospital.
Beliau berkata pandangan itu tidak tepat kerana bayaran 40 peratus adalah hak perlembagaan Sabah dan tidak wajar disamakan dengan tanggungjawab pembangunan Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai Presiden Upko, saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan itu kerana hak 40 peratus adalah syarat penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LPPS 2025 di Hotel Sutera Pacific, di sini, pada Rabu.
Beliau mengulas cadangan Harris mengenai alternatif kepada hak hasil cukai negeri sebanyak 40 peratus, dengan mencadangkan Sabah perlu memberi keutamaan kepada penaiktarafan infrastruktur asas oleh Kerajaan Persekutuan berbanding menuntut bayaran tunai secara langsung.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan serta Pengangkutan negeri berkata tanpa penerimaan syarat terbabit Sabah tidak akan bersetuju membentuk Malaysia bersama wilayah lain pada tahun 1963.
“Dan tanpa Sabah, tidak akan wujud sebuah negara bernama Malaysia. Perjanjian ini juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 112,” katanya.
Advertisement

Beliau menambah tanggungjawab pembangunan seperti pembinaan sekolah, hospital, lebuh raya dan infrastruktur lain sudah jelas ditetapkan sebagai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah pembahagian kuasa dalam perlembagaan.
“Kita mempunyai Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Ini adalah dua perkara berbeza.
“Hak 40 peratus adalah kewajipan perlembagaan yang mesti dan perlu dilaksanakan manakala pembangunan seperti pendidikan, kesihatan, lebuh raya, keselamatan dalam negeri dan keselamatan sempadan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Ewon menegaskan pendirian Upko kekal tegas untuk terus menuntut pelaksanaan bayaran 40 peratus yang masih tertunggak sejak 1974.
“Kami akan terus menuntut pelaksanaan hak ini. Kami juga menyokong apa jua pendekatan yang diambil oleh rakyat Sabah sama ada melalui saluran undang-undang, meningkatkan kesedaran awam melalui dialog, penulisan akademik atau forum.
“Segala usaha yang membawa kepada kesedaran dan pelaksanaan hak ini mendapat sokongan kami,” katanya.
Pada masa sama, Ewon berkata Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan melalui libat urus antara kerajaan bagi memajukan tuntutan terbabit.
“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan saluran antara kerajaan yang sesuai digunakan.
“Ketua Menteri telah pun menyatakan pendirian yang sangat tegas mengenai perkara ini,” katanya.